6 panduan yang patut anda tahu sebelum melancong ke Taiwan - Destinasi | mStar

6 panduan yang patut anda tahu sebelum melancong ke Taiwan

SELAIN tarikan sejarah, budaya, keindahan alam dan aktiviti yang menyeronokkan, fasiliti mesra Muslim turut menjadi pertimbangan utama pelancong.

Lebih-lebih lagi apabila populasi penganut Islam di negara yang bakal dikunjungi itu adalah rendah seperti Taiwan.

Isu utama yang menjadi rungutan pastinya berkaitan lokasi makanan halal selain kemudahan untuk menunaikan solat.

Kempen Salam Taiwan nampaknya membuka mata mengenai kemudahan mesra Muslim yang selesa tanpa rasa bimbang.

Oh ya, EVA Air iaitu syarikat penerbangan dari Taiwan turut menyokong usaha ini termasuk menawarkan sajian makanan halal dalam pesawat ketika anda membuat tempahan tiket.

Leofoo Village Theme Park antara destinasi yang patut dikunjungi.

Ini antara tip yang mungkin berguna jika anda melancong ke Taiwan.

Kad Sim

Tiba sahaja di Lapangan Terbang Antarabansa Taoyuan, terdapat beberapa kios yang menjual kad sim. Harga kad sim sekitar NT$300 (RM40.00) untuk lima hari dengan data tanpa had.

Pastikan anda membuat pilihan yang bijak dengan membaca promosi yang ditawarkan. Bagi pelancong yang menaiki penerbangan EVA Air, anda berpeluang mendapat potongan sebanyak NT$100 (RM14.00).

Aplikasi Halal TW

Sebelum terbang ke Taiwan, muat turun dahulu aplikasi Halal TW. Aplikasi ini boleh membantu anda mendapatkan info restoran halal, masjid serta lokasi menarik untuk dilawati.

Aplikasi Halal TW boleh dimuat turun dari AppStore bagi pengguna iOS dan Play Store bagi android.

Pengangkutan

Pengangkutan awam seperti metro (MRT), teksi dan bas sangat mudah digunakan jika anda ingin bersiar-siar di sekitar bandar Taipei. Lebih mudah jika anda membeli Easycard.

Jika berniat untuk ke destinasi luar daerah, anda dinasihatkan untuk menggunakan perkhidmatan pakej pelancongan termasuk pemandu pelancong kerana jarak antara daerah agak jauh.

Bagi perkhimatan 'e-hailing', anda boleh menggunakan aplikasi Uber.

Kalau inginkan lebih cabaran, sewa sahaja kenderaan bagi memudahkan anda bergerak mengikut kesesuaian sendiri. Tapi lesen memandu antarabangsa diperlukan dan untuk info, kenderaan di Taiwan dipandu di sebelah kanan.

Antara pengangkutan awan di bandar Taipei.

Cuaca

Taiwan adalah negara empat musim, namun musim sejuk di sini tidak bersalji kecuali di pergunungan tinggi. 

Antara waktu yang sesuai untuk dilawati adalah sekitar Mac hingga Mei iaitu musim bunga. Suhu waktu ini adalah sekitar 25 darjah Celsius.

Jika anda berminat menyertai pelbagai festival seperti festival belon, bunga api atau kulinari, waktu yang sesuai adalah sekitar Jun hingga Ogos, namun suhu ketika ini mencecah 30 darjah Celcius.

Cuaca nyaman sekitar Sun Moon Lake, Yuchi.

Makanan

Majoriti restoran di Taiwan adalah tidak halal. Namun jangan risau, terdapat beberapa jenis restoran yang anda boleh kunjungi:

1. Restoran yang menjual makanan Arab.

2. Restoran mesra muslim yang menyajikan makanan laut dan vegetarian. Apa-apa pun bertanya dahalu untuk mendapatkan kepastian sama ada ia sesuai atau tidak untuk Muslim.

3. Restoran yang mempunyai Sijil Halal - diluluskan oleh Persatuan Cina Muslim Taiwan.

Restoran Kunming menyediakan sajian halal

Kemudahan

Jika anda ke destinasi tumpuan utama pelancong di sekitar bandar Taipei contohnya menara Taipei 101, tiada masalah untuk anda mencari ruangan solat di sana. Pusat beli-belah utama lain juga kebanyakannya menyediakan ruangan untuk solat.

Dapatkan maklumat di kaunter bahagian informasi di situ.

Seiring dalam mempromosi Taiwan sebagai lokasi mesra Muslim, kemudahan surau turut disediakan di sesetengah stesen metro di tengah kota Taipei.

Surau yang disediakan di lokasi tumpuan pelancong

Jom tonton keseronokkan bercuti di Taiwan yang sentiasa mengalu-alukan kunjungan anda dengan penuh kemesraan!

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan