Layan 'waffle', kentang goreng, coklat & seni bina unik di Brussels - Destinasi | mStar

Layan 'waffle', kentang goreng, coklat & seni bina unik di Brussels

Tidak lengkap percutian ke Brussels kalau tidak ke Grand Place.

Kiriman WAN AZFAROZZA WAN ATHMAR

'WAFFLE', coklat dan kentang goreng merupakan penjenamaan yang terkenal untuk Brussels, Belgium.

Bagi penggemar makanan atau kini lebih popular dengan gelaran 'foodie' inilah salah satu negara di Eropah yang harus dilawati.

Namun, Brussels bukan sahaja kota untuk 'foodie', malah ia juga merupakan kota yang sesuai bagi penggemar seni atau lebih mudah dikenali sebagai kaki seni.

Aneka pilihan waffle di Aux Gaufres de Bruxelles.

Kewujudan seni bina bangunan-bangunan zaman pertengahan Eropah di tengah kota serta muzium seninya cukup untuk menjadi halwa mata untuk kaki seni ini.

Brussels merupakan ibu kota Belgium di mana secara amnya masyarakatnya terbahagi kepada dua iaitu komuniti Perancis Belgium dan komuniti Flemish.

2.1 juta penduduk menetap di Brussels, menjadikan kota ini sebagai kota terbesar di Belgium.

Bermula sebagai sebuah penempatan yang kecil, Brussels kini merupakan salah sebuah kota terpenting di benua Eropah.

Penulis bergambar di hadapan St. Michael and St. Gudula Cathedral.

Ini kerana kota ini merupakan pusat de facto Kesatuan Eropah (EU) dan pelbagai institusi Kesatuan Eropah berada di kota ini.

Antara tips melancong ke Brussels untuk si foodie dan kaki seni ialah dengan membuat pembelian 'Brussels Card'.

Kad tersebut boleh dibeli secara talian dan pilihan kad adalah selama 24, 48 atau 72 jam.

Tepuk dada tanya selera. Berapa lama mahu berada di kota Brussels?

Hop On Hop Off Brussels sentiasa menjadi tarikan pelancong.

Pembelian kad ini akan memudahkan perjalanan di Brussels dengan akses percuma ke 40 muzium, diskaun untuk restoran terpilih, serta menaiki bas Hop On Hop Off Brussels secara percuma.

Perjalanan bas Hop On Hop Off Brussels mengambil masa lebih kurang sejam dan terserah kepada pelancong untuk berhenti di mana-mana lokasi pilihan.

Antara lokasi pilihan yang harus dilawati ialah muzium Musee Royaux Beaux Arts.

Antara pameran seni lukisan di Musee Royaux Beaux Arts.

Hasil karya seni oleh Hieronymus Bosch, seni realism oleh Quentin Metsys dan seni potrait oleh Van Dyck merupakan sebahagian dari pameran yang membuatkan pengunjung lebih memahami tentang kota ini melalui karya seni yang dipamerkan.

Musical Instrument Museum (MIM) pula mempamerkan 9,000 jenis alat muzik dari seluruh dunia.

Musical Instrument Museum.

Menariknya muzium ini ialah bangunannya dahulu merupakan sebuah gedung membeli-belah di penghujung abad ke 19.

Kini ia merupakan pusat pameran dari biola, piano serta alatan muzik masyarakat asli dari Afrika hinggalah ke benua Asia.

Pengunjung akan dapat mengetahui rahsia di sebalik kesemua alat muzik tersebut dari aspek, agama, budaya serta sejarah.

Tidak lengkap rasanya ke Brussels kalau tidak ke lokasi wajib iaitu Grand Place.

Disenaraikan sebagai Warisan Dunia Unesco pada tahun 1998 lokasi ini sentiasa sesak dengan pelancong kerana seni bina bangunannya yang menggabungkan gaya artistik dan evolusi masyarakatnya pada abad ke 12.

Bangunan City Hall yang berkonsepkan gothika dibina pada abad ke 15 pula pernah musnah sebahagiannya apabila tentera Loius XIV menawan kota Brussels.

City Hall, Grand Place.

Kerja-kerja restorasi dilakukan agar Grand Place tidak hanya dikenali dalam lipatan sejarah.

Kini, antara acara besar yang dinantikan di Grand Place ialah acara setiap dua tahun di pertengahan Ogos iaitu Flower Carpet di mana 500,000 bunga Begonia disusun di sepanjang lokasi ini.

Pusat membeli-belah di Grand Place.

Untuk si foodie pula terdapat dua lokasi makanan yang sangat terkenal di sekitar Grand Place.

Bukan sahaja dikunjungi oleh pelancong malah penduduk setempat sendiri akan mendapatkan kentang goreng dan waffle yang paling enak di Brussels di tempat ini.

Aux Gaufres de Bruxelles menyediakan pelbagai jenis waffle yang cukup enak manakala Fritland pula sesak dengan pengunjung kerana terkenal dengan kentang gorengnya dengan pelbagai pilihan sos mengikut selera pengunjung.

Coklat Belgian pula boleh didapati di sepanjang perjalanan ke Grand Place dengan pelbagai pilihan kedai.

Maka rancanglah perjalanan anda ke Brussels dan lihat sendiri, alami serta jatuh cintalah dengan makanan, budaya, karya seni dan seni bina kota metropolitan ini.

Untuk maklumat lanjut layari https://visit.brussels/en/sites/brusselscard.