suria

Desaru Waterpark tawar tiket separuh harga hingga Oktober

Destinasi pelancongan seisi keluarga yang terbaharu di negeri Johor. FOTO: Facebook Desaru Coast Adventure Waterpark

ISKANDAR PUTERI: Tarikan terbaharu negeri Johor, Desaru Coast Adventure Waterpark mengalu-alukan kehadiran orang ramai dengan potongan harga 50 peratus sempena pembukaan tidak rasminya sehingga Oktober depan.

Taman tema air yang dikatakan terbesar di Malaysia ini boleh menampung sehingga 12,000 pengunjung setiap hari dengan 20 tarikan permainan berbeza.

Berkeluasan 8.49 hektar, ia memiliki sebuah pantai yang mengandungi 4 juta gelen air.

Malah, pantai tersebut berkeupayaan menghasilkan gelombang ombak setinggi empat meter, menjadikan ia ombak buatan manusia yang terbesar di dunia.

Pengurus Besar Desaru Coast Adventure Waterpark, Jeff Jouett berkata, promosi harga istimewa itu akan berlangsung sehingga Oktober depan.

Desaru Coast Adventure Waterpark boleh menampung sehingga 12,000 pengunjung setiap hari.

Ia dibuka empat hari seminggu dan ditutup selama tiga hari bagi membolehkan kerja-kerja akhir dilaksanakan sebelum dibuka secara rasmi tidak lama lagi.

"Salah satu permainan ekstrem yang kami tawarkan ialah The Tempest, ia merupakan gelongsor dengan penurunan 24 kaki.

"Selain itu, terdapat juga kelas khas dari pukul 8 hingga 10 pagi untuk mereka yang ingin belajar meluncur ombak," jelasnya lagi.

Dalam pada itu, Jouett mendedahkan taman tema air itu menempatkan 100 petugas keselamatan (lifeguards) yang sentiasa bersedia bagi menjamin keselamtan pengunjung.

Antara permainan air yang ditawarkan di Desaru Coast Adventure Waterpark .

Promosi pelancaran tidak rasmi itu menawarkan tiket pada harga RM75 untuk dewasa, RM56 (kanak-kanak) dan kemasukan percuma untuk mereka yang berusia tiga tahun ke bawah.

Harga normal selepas berakhirnya promosi ialah RM151 untuk dewasa, RM113 (kanak-kanak dan warga emas), dan percuma untuk kanak-kanak bawah tiga tahun.

Bagi pemegang MyKad pula, harga untuk dewasa adalah RM124, dan RM90 (kanak-kanak).

Khusus buat warga Johor, mereka turut memperkenalkan pas istimewa dengan bayaran RM271 untuk kemasukan tanpa had sepanjang tahun.

Artikel Lain