suria

Tak Susah Rakyat Malaysia Dapat Visa Ke AS

Salah satu kawasan tumpuan ramai berhampiran Times Square, New York. -fotoREUTERS

SEBENARNYA, memang mudah bagi rakyat Malaysia mendapatkan visa untuk membuat perjalanan ke Amerika Syarikat (AS) dan kesukaran mendapatkannya adalah tanggapan umum rakyat negara ini semata-mata, kata Duta Besar negara itu di Malaysia Kamala Shirin Lakhdir.

Beliau berkata bagi rakyat Malaysia yang ingin membuat perjalanan atau belajar di AS, selalunya perkara yang menjadi rintangan bukanlah visa.

"Saya ingin  maklumkan kepada rakyat Malaysia bahawa sekiranya anda memohon visa pelajar untuk ke Amerika, peluang anda untuk mendapatnya ialah 99 peratus (berdasarkan statistik tahun lepas) dan bagi tujuan perjalanan serta rasmi pula, peluangnya ialah 97 peratus," kata beliau.

Kamala berkata demikian kepada pemberita selepas melawat The American Corner di Perpustakaan Negeri Kedah di Alor Setar, Rabu.

Kamala Shirin Lakhdir. -fotoBERNAMA

Katanya Kedutaan Amerika di Kuala Lumpur akan terus bekerjasama dengan kerajaan Malaysia untuk membolehkan Malaysia tersenarai dalam Program Pengecualian Visa Amerika Syarikat (VWP), walaupun Amerika tidak akan menambah jumlah negara baharu VWP dalam tempoh terdekat.

Menurut beliau, kedutaan itu sedang meneliti beberapa faktor dan isu, seperti keselamatan sempadan dan pasport.

"Kami  akan terus bekerjasama dengan Malaysia, khususnya Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Imigresen, tetapiuntuk sementara ini, kami tidak akan menambah negara baharu (ke dalam VWP)," katanya.

Malaysia menyuarakan hasratnya untuk disenaraikan dalam VWP Amerika semasa perbincangan antara Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden Amerika ketika itu, Barack Obama ketika bekas pemimpin Amerika itu melawat Malaysia pada April 2014.

Program itu akan membolehkan rakyat Malaysia memasuki dan tinggal di Amerika tanpa visa untuk tempoh maksimum 90 hari bagi tujuan melancong dan atas urusan perniagaan.

Ketika ini, rakyat dari 38 negara dan wilayah layak memasuki Amerika tanpa visa di bawah VWP. -Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Lain