5 Destinasi 'Panas Badan' Pada November

DI negara-negara Eropah, musim salji bakal menjelma tidak lama lagi. Bagi mereka yang alah dengan cuaca sejuk, pasti tercari-cari destinasi percutian yang boleh membekalkan vitamin D bagi menghangatkan tubuh.

Maka tidak hairanlah lokasi seperti di Laut Carribean atau Asia Tenggara menjadi tumpuan pelancong dari serata dunia untuk merehatkan minda selepas hampir setahun penat bekerja.

Selain destinasi ala tropika, beberapa kawasan di selatan Eropah juga sesuai untuk dilawati bulan ini kerana selain tidak sesak dengan pelancong, langit biru juga dapat dilihat di samping suhu yang 'suam-suam kuku'.

Conde Nast Traveller menyenaraikan lima destinasi menakjubkan untuk dikunjungi pada sepanjang November.

1. Andalusia

Andalusia yang terletak di selatan Sepanyol menawarkan pelbagai destinasi yang menawan seperti di Cadiz, Seville, Granada dan Cordoba. Selain meriah dengan kelab tepi pantai, taman negara Sierra de las Nieves merupakan pilihan terbaik untuk berenang di kolam semula jadi dan berkayak di empangan.

Sebuah perkampungan di Ronda, di pinggir Marbella.

2. Antigua dan Barbuda

Tiada perkataan perlu diungkapkan lagi untuk menceritakan keindahan laut di Antigua. Berjalan di pesisir pantai pada waktu malam sambil disinari limpahan cahaya bulan pasti mencipta saat romantis buat pasangan yang bercinta. Barbuda pula ibarat 'adik' Antigua dengan seleksi hotel  yang 'low-key', memberikan lebih kepuasan bagi mereka yang mencari ketenangan.

Antigua.

3. Essaoiura dan Maghribi

Essaoiura pula ibarat sebuah destinasi yang menghidupkan semula setiap deria yang ada. Masa untuk menikmati ikan segar yang baru ditangkap dan dipanggang di atas timbunan arang di tepi pelabuhan. Jangan tak percaya, Jimi Hendrix dan Cat Stevens atau lebih dikenali sebagai Yusuf Islam pernah bercuti di sini kerana terdapat banyak galeri lukisan dan galeri kraftangan.

Amouage, Taghazout.

4. Oman

Jika anda mencari destinasi percutian yang dihangatkan cahaya mentari musim sejuk, jauh di pedalaman dan ruang yang lapang, tempah tiket ke Oman sekarang. Di Muscat, anda tidak sedar hari pantas berlalu kerana begitu asyik menyelusuri deretan bangunan tradisional, struktur masjid lama dan bazar barangan Arab yang menjadi identiti Oman.

Bot nelayan di pesisir Wadi Shab yang terletak di selatan Muscat.

5. Buenos Aires

Buones Aires pula sebuah kota penuh warna-warni. Dihiasi hijau daun di bahagian utara dan pemandangan townhouse dengan elemen Itali di selatan serta warna rumah terang dan garang di La Boca berdekatan pelabuhan lama, menjadikan ia satu kota wajib dilawati sekali seumur hidup!

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Daki Bukit Keluang, Dapat Main Air!

Artikel Lain