suria

Tahniah! Abdul Latif, Mun Yee kini bergelar Datuk

Mun Yee (kiri) dan Abdul Latif dikurniakan pingat Panglima Mahkota Wilayah (PMW) sempena Hari Wilayah Persekutuan tahun ini.

ATLET para negara, Abdul Latif Romly dan bekas penerjun negara Leong Mun Yee, dikurniakan gelaran Datuk.

Kedua-dua atlet itu dikurniakan pingat Panglima Mahkota Wilayah (PMW), yang membawa gelaran Datuk, sempena Hari Wilayah Persekutuan tahun ini.

Kedua-duanya menyertai jaguh badminton, Lee Chong Wei, pelumba basikal Azizulhasni Awang dan penerjun negara Pandelela Rinong dalam meraih gelaran Datuk untuk pencapaian sukan mereka.

Abdul Latif, 24, adalah salah seorang atlet para terkemuka negara dan mempamerkan pencapaian cemerlang di pentas dunia sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Abdul Latif memecahkan rekod dunia tiga kali untuk memenangi acara lompat jauh (T20) kategori lelaki di Sukan Paralimpik, Rio de Janeiro pada 2016.

Atlet kelahiran Perlis itu turut mempertahankan emasnya di Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

Sementara itu, Mun Yee pula merupakan satu-satunya atlet Malaysia yang bertanding dalam lima Sukan Olimpik (Sydney 2000, Athens 2004, Beijing 2008, London 2012, Tokyo 2020).

Mun Yee membuat terjunan kompetitif terakhirnya di Sukan Olimpik Tokyo 2020 dan kini sedang membantu jurulatih Li Rui mengendalikan skuad terjun negara. - THE STAR

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain