suria

Isu curi pemain: Akhyar, FAM bakal umum keputusan Mac ini

Akhyar perlu membayar wang pampasan sebanyak RM300 ribu kepada KFA.

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) dijangka membuat keputusan mengenai isu curi pemain (tapping up) melibatkan pemain kebangsaan, Muhammad Akhyar Abdul Rashid ke pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada Mac nanti.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam memaklumkan Jawatankuasa Rayuan bakal bersidang pada bulan hadapan bagi membincangkan kes berkenaan setelah mendapat permintaan kedua daripada Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA).

”Sebagaimana keputusan AIAC (Pusat Timbang Tara Asia) yang mengambil masa lama, begitu juga di FAM, kami juga perlu melalui proses perundangan, dan keputusan bukan boleh diputuskan dengan segera.

“Proses ini sudah beberapa kali tertangguh dan akan dibincangkan dalam Jawatankuasa Rayuan pada bulan hadapan atau sebelum Mac nanti, dan keputusan akan diketahui selepas jawatankuasa berkenaan mencapai kata putus mengenai kes ini,” katanya kepada media.

Mengulas lanjut, Stuart mendedahkan KFA berhak membawa semula kes berkenaan kepada AIAC atau Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) di Switzerland sekiranya mereka tidak berpuas hati dengan keputusan yang bakal diumumkan oleh FAM nanti.

Dalam pada itu, Stuart berkata badan induk itu tidak bercadang untuk menggubal undang-undang baharu berhubung perpindahan pemain dalam tempoh terdekat selepas memansuhkan Artikel 15.A, Peraturan Status dan Perpindahan Pemain FAM.

Beliau menjelaskan, ia bagi memastikan undang-undang sedia ada adalah selaras dengan undang-undang Persekutuan Bola Sepak Asia (AFC) dan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Pada Selasa, Setiausaha Kehormat KFA Asmirul Anuar Aris mengesahkan pihaknya tidak teragak-agak untuk mengheret isu curi pemain melibatkan Muhammad Akhyar ke JDT, ke peringkat lebih tinggi termasuk CAS sekiranya FAM gagal memberi kata putus berhubung isu berkenaan.

Pada Sabtu, Asmirul Anuar mengesahkan kes yang berlarutan hampir setahun itu berpihak kepada KFA setelah dibawa ke AIAC, namun berpandangan pampasan RM300,000 yang perlu dibayar oleh pemain berkenaan kepada KFA adalah tidak setimpal dengan usaha persatuan berkenaan membangunkan pemain berusia 20 tahun itu sehingga menjadi pemain profesional.

Muhammad Akhyar yang juga pemain kebangsaan sah menjadi milik JDT pada Disember 2018 ketika FAM dan KFA masih berbalah mengenai isu perpindahan pemain terbabit.

Sebelum itu, KFA mengemukakan rayuan kepada FAM selepas tidak berpuas hati dengan keputusan badan induk itu yang menetapkan nilai pampasan RM75,000 kepada mana-mana pasukan yang mahu mendapatkan khidmat Muhammad Akhyar.

Bagaimanapun, Jawatankuasa Rayuan FAM mengekalkan keputusan bahawa pemain itu hanya perlu membayar RM210,000 bagi menebus baki kontraknya bersama KFA untuk berhijrah ke pasukan lain manakala pasukan baharunya perlu membayar RM75,000 kepada KFA.- Bernama

Akhyar Abdul Rashid, JST, Kedah

Artikel Lain