suria

Abdullah yakin mampu bantu KLFA - “Bola sepak dan politik memang tak boleh dipisahkan”

Abdullah mahu membantu KLFA ke arah pengurusan yang lebih baik.

DATUK Abdullah Sani menyatakan hasrat ingin bertanding bagi kerusi Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), November ini.

Menurut Abdullah mengakui dirinya seorang peminat sukan bola sepak dan bersedia membantu membuka lembaran baharu KLFA yang sebelum ini dicalit sedikit kontroversi dalaman.

"Saya terpanggil untuk membantu pengurusan KLFA dari segi pentadbiran bagi memastikan pasukan ini kembali menyinar seperti dahulu.

"Mungkin ada peminat bola sepak yang akan pertikaikan penglibatan ahli politik dalam sukan bola sepak. Tetapi ingin saya tegaskan bahawa sukan dan politik tidak boleh dipisahkan, yang penting hasilnya.

"Secara realitinya, setiap persatuan memerlukan dana yang mencukupi untuk menguruskan sesebuah pasukan kerana tanpanya ia tidak akan berjaya.

"Sudah pasti saya akan cuba bantu presiden dan persatuan untuk memantapkan lagi pengurusan sedia ada," katanya kepada mStar.

Jelas Ahli Parlimen Kapar itu, apa yang lebih penting baginya adalah untuk penambahbaikan persatuan bagi melahirkan pemain-pemain atau sebuah pasukan yang lebih kuat.

"Dalam bola sepak ada dua perkara yang berbeza iaitu kemahiran yang dianggap sebagai anugerah manakala satu lagi adalah fizikal.

"Kedua-dua kombinasi ini adalah amat penting tetapi komitmen saya adalah untuk memberi peluang dan ruang kepada mereka yang tidak dapat tempat sebelum ini.

"Sebab itu dana penting bagi memastikan akademi bola sepak dapat mencungkil bakat-bakat muda sekaligus melahirkan lebih ramai pemain berkaliber," ujarnya.

Dalam pada itu, Abdullah berharap jangan ada pihak yang cuba membuat kucar-kacir dalam persatuan kerana ia akan merosakkan pengurusan KLFA.

"Jangan buat benda yang boleh memberi kesan kepada persatuan dan pengurusan. Saya yakin ini adalah masa paling sesuai untuk sama-sama membangunan KLFA supaya mempu menjadi sebutan peminat-peminat bola sepak tanah air.

"Apa yang penting selepas ini akan ada lebih banyak program-program peringkat akar umbi yang kita ketahui ianya adalah sumber kekuatan sesebuah pasukan itu bertahan," jelasnya.

Untuk rekod, November tahun lalu, kongres KLFA Kali Ke-31 ditunda oleh Pesuruhjaya Sukan  Malaysia (PSM) berikutan kemelut dalaman yang melanda persatuan tersebut.

Kongres tersebut hanya akan diadakan bulan depan dan dijangka beberapa isu dibincangkan termasuk beban kewangan dan geran pasukan, prestasi pemain import, kontrak pemain dan prestasi pengadil secara umum kepada badan induk itu. 

Datuk Abdullah Sani, KLFA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain