suria

Harimau Malaya gagal kutip mata di Hanoi

Pemain negara, Brendan Gan cuba menghalang pemain tuan rumah Do Hung Dung pada aksi Kumpulan G di Hanoi, Khamis malam. foto: AFP

HARIMAU Malaya gagal melakar kejutan ke atas Vietnam apabila tewas 0-1 dalam aksi ketiga Kumpulan G Pusingan Kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium My Dinh, Hanoi Khamis malam.

Anak-anak buah Tan Cheng Hoe itu dilihat gagal untuk mencorakkan gerakan kemas ke kubu Vietnam tatkala barisan pemain skuad Naga Emas pantas menutup ruang dan memberi tekanan sehingga menyebabkan Harimau Malaya sering kehilangan bola.

Benteng pertahanan negara yang diterajui gandingan Shahrul Saad dan Mohd Aidil Zafuan Abd Radzak juga tampak goyah apabila beberapa kali melakukan kesilapan sehingga hampir mengundang padah.

Peluang terbaik Harimau Malaya pada separuh masa pertama hadir menerusi lontaran jauh pemain pertahanan kiri, La'Vere Corbin-Ong pada minit ke-23, namun ditepis keluar penjaga gol Vietnam, Dang Van Lam.

Kelekaan pertahanan negara dihukum pada minit ke-40 apabila Nguyen Quang Hai bijak membaca hantaran kapten, Que Ngoc Hai sebelum merembat kencang menewaskan penjaga gol, Mohd Farizal Marlias.

Bersambung babak kedua, tidak banyak peluang dicipta dengan Harimau Malaya juga buntu untuk menembusi pertahanan Naga Emas yang tenang mematahkan setiap pergerakan jentera serangan negara.

Vietnam yang sesekali hadir menerusi serangan balas pantas hampir menambah jaringan pada minit ke-72 menerusi pemain gantian, Nguyen Anh Duc, namun percubaannya berjaya dihalang barisan pertahanan negara.

Biarpun cuba mengasak kubu Vietnam pada penghujung perlawanan, Harimau Malaya masih gagal untuk memecahkan kebuntuan gol sehingga wisel penamat dibunyikan oleh pengadil dari Iran, Mooud Bonyadifard. - Sinar Harian

Harimau Malaya, Vietnam

Artikel Lain