suria

Sembilan pasukan Liga Super lulus dapat lesen kelab kebangsaan

Pasukan JDT bersama lapan lagi pasukan lain lulus dan diberi lesen kelab kebangsaan bagi aksi Liga Super 2020.

SEBANYAK sembilan daripada 12 pasukan yang beraksi pada Liga Super 2019 telah lulus dan diberikan lesen kelab kebangsaan bagi membolehkan mereka beraksi pada Liga Super 2020, sekiranya layak.

Sembilan kelab yang diberikan lesen kebangsaan itu adalah Johor Darul Ta'zim (JDT), Kedah FA, Kuala Lumpur FA, Perak FA, Pahang FA, Selangor FA, Terengganu FA, Felda United FC dan PJ City FC.

Menurut Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Stuart Ramalingan, dua lagi kelab iaitu Melaka FA dan PKNS FC diberikan lesen kebangsaan dengan bersyarat.

ARTIKEL BERKAITAN: Semua Pasukan Liga Super Wajib Ada Lesen Kelab Sebelum Oktober

"Melaka FA dan PKNS FC mereka perlu melengkapkan keperluan yang disyaratkan itu sebelum 30 Oktober 2019. Kegagalan untuk berbuat demikian, lesen berkenaan akan ditarik balik dan mereka akan dikenakan tindakan diturunkan ke Liga Premier 2020.

"Satu lagi kelab dari Liga Super 2019 iaitu PKNP FC telah ditolak permohonan mereka dan gagal untuk mendapatkan lesen kebangsaan disebabkan  kegagalan untuk melengkapkan kriteria-kriteria yang diperlukan, sekali gus diturunkan ke Liga Premier 2020.

"Manakala enam pasukan iaitu Johor Darul Ta'zim (JDT), Kedah FA, Kuala Lumpur FA, Perak FA, Selangor FA dan Terengganu FA turut diberikan lesen AFC bagi membolehkan pasukan-pasukan ini beraksi pada Liga Juara-Juara Asia 2020, jika mereka layak," jelasnya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Stuart Ramalingam

Jelas Stuart, bagi membolehkan sesebuah pasukan itu diberikan lesen kelab, mereka perlu melepasi penilaian yang dibuat ke atas enam kriteria utama iaitu kesukanan, infrastruktur, pentadbiran personel, perundangan, kewangan dan perniagaan, seperti yang termaktub dalam Peraturan Pelesenan Kelab FAM Edisi 2019.

"Lesen Kebangsaan dan lesen AFC ini adalah sah untuk tempoh satu musim sahaja iaitu bagi musim 2020 dan sepanjang musim berkenaan.

"Jika mana-mana pasukan didapati melanggar artikel-artikel yang terdapat dalam Peraturan Pelesenan Kelab FAM Edisi 2019 atau dalam apa juga keadaan yang menyebabkan pengeluar lesen (FAM) tidak berpuas hati, lesen kelab mereka boleh ditarik balik.

"Sebagai langkah proaktif juga, FAM untuk kali ini telah mensyaratkan setiap pasukan wajib menghantar surat pengisytiharan yang mereka bebas daripada sebarang tunggakan gaji, KWSP, LHDN dan Perkeso kepada FAM selewat-lewatnya pada 15 Disember 2019, menjelang musim baharu Liga Super dan Liga Premier 2020.

"Kriteria yang ditetapkan dalam permohonan lesen kelab bagi musim 2020 yang dinilai pada September 2019 hanya berdasarkan kepada laporan kewangan tahunan 2018 yang telah diaudit serta laporan daripada pengurusan pasukan untuk tempoh Januari 2019 hingga Jun 2019," katanya.

Tambah Stuart, dengan langkah ini, ia sekali gus dapat mengelak daripada tunggakan yang berlaku selepas tempoh berkenaan dibawa pula ke musim 2020 kerana mana-mana pasukan yang gagal mengemukakan surat pengisytiharan berkenaan pada 15 Disember 2019 boleh dikenakan tindakan lesen kelab yang telah diperoleh mereka itu ditarik balik.

Stuart Ramalingam, FAM, Lesen Kelab

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain