suria

Semua Pasukan Liga Super Wajib Ada Lesen Kelab Sebelum Oktober

Kevin Ramalingam.

KUALA LUMPUR: Sebelas pasukan Liga Super musim ini berdepan dengan tindakan diturunkan ke Liga Perdana jika gagal memperoleh pelesenan kelab sebelum Oktober ini.

Ketua Pegawai Eksekutif FMLLP, Kevin Ramalingam berkata setakat ini hanya  pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) telah memperoleh pelesenan kelab seperti yang disyaratkan oleh Perkongsian Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP).

Katanya, peraturan tersebut diadakan bagi memastikan sasaran penswastaan liga pada tahun depan seperti yang dicadangkan dapat direalisasikan.

Beliau berkata setakat ini hampir sebahagian besar daripada 11 pasukan dan kelab yang bersaing dalam Liga Super musim ini telah mencapai kemajuan di antara 60 hingga 80 peratus bagi mendapatkan pelesenan kelab tersebut.

"Cuma ada beberapa pasukan sahaja lagi yang dilihat bersikap sambil lewa dalam mendapatkan pelesenan kelab yang merupakan antara inisiatif kita dalam memartabatkan kualiti Liga Malaysia," katanya.

Kevin, bagaimanapun, enggan mendedahkan jumlah pasukan yang dilihat kurang mempamerkan kesungguhan bagi memohon pelesenan kelab itu.

Justeru, beliau meminta pasukan dan kelab supaya memandang serius arahan untuk mendapatkan pelesenan kelab atau berdepan dengan tindakan yang bakal menjejaskan operasi mereka pada masa akan datang.

Beliau berkata pasukan yang gagal mendapatkan Lesen Kelab sebelum tarikh tutup pada Oktober ini masih boleh mengemukakan rayuan kepada FMLLP untuk diberi lesen sementara namun tertakluk kepada beberapa syarat yang ditetapkan.

Katanya, pasukan yang bersaing dalam Liga Perdana juga diwajibkan memiliki lesen berkenaan untuk pertandingan pada tahun 2020, dengan tarikh permohonan ditutup pada 2019. - BERNAMA

FMLLP, Kevin Ramalingam

Artikel Lain