Malaysia ke pentas final, tiket automatik ke kempen kelayakan Olimpik 2020 - Sukan | mStar

Malaysia ke pentas final, tiket automatik ke kempen kelayakan Olimpik 2020

Aksi pemain Malaysia, Faizal Saari (dua, kiri) meraikan kejayaan melakukan jaringan sewaktu perlawanan separuh akhir Kejohanan Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) Siri Akhir Lelaki Kuala Lumpur 2019 di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, Jumaat malam. FotoBERNAMA

MALAYSIA memulihkan semula prestasi terumbang-ambing apabila layak ke pentas final dengan menewaskan Austria 3-1 pada perlawanan separuh akhir Kejohanan Hoki Siri Final Lelaki FIH 2019 di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur malam Jumaat.

Kemenangan yang cukup berdebar di hadapan 3,000 penyokong tempatan itu bukan sahaja membolehkan skuad Malaysian Tigers menempah slot final menentang Kanada pada Ahad malah menggenggam tiket automatik ke pusingan kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020, November ini.

Malaysia dan Kanada meraih dua slot ditawarkan ke kempen kelayakan Sukan Olimpik menerusi kejohanan ini.

Sebelum ini, Kanada bangkit daripada ketinggalan satu gol untuk meleburkan rekod bersih Itali dengan kemenangan 3-1 dalam satu lagi aksi separuh akhir.

Selepas diaibkan Itali 4-2 pada pusingan peringkat kumpulan B dan mengharungi pusingan play-off mengatasi Wales 2-1, Malaysia tampil malam ini dengan penuh bersemangat dan menyakinkan pada suku pertama perlawanan.

Malaysia melancarkan gerakan kemas dan mula mengasak sebelum peluang terbaik hadir pada minit ke-11 apabila pukulan kencang Azrai Aizad Abu Kamal terkena tiang gol, disusuli percubaan oleh Fitri Saari.

Menerusi gerakan beberapa saat selepas itu, Malaysia dihadiahkan pukul sudut penalti dan Faizal Saari tidak melakukan kesilapan dengan jaringan pertama.

Ketika pemain Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi diperintah duduk di 'sinbin' (penggantungan sementara) selepas dikenakan kad hijau pada minit ke-31, Austria mengambil kesempatan untuk menyamakan kedudukan seminit kemudian menerusi Leon Thornblom.

Kedudukan terikat itu berlarutan sehingga akhir suku ketiga bagaikan perlawanan akan diheret ke penentuan penalti, namun Muhammad Marhan Jalil menyelamatkan keadaan apabila berada di kedudukn tepat untuk menolak masuk percubaan pukulan sudut penalti Faizal pada minit ke-56.

Meor Muhammad Azuan Hassan mengesahkan kemenangan Malaysian Tigers apabila melakukan jaringan padang pada minit ke-58.

Ketua jurulatih negara Roelant Oltmans berkata, selepas gol penyamaan, saingan bertambah lebih sengit dengan kepantasan permainan menjadi faktor penentu.

“Saya meminta pemain supaya meningkatkan kepantasan pada suku ketiga dan keempat dan ini menyebabkan Austria tidak dapat menandingi kita.

“Oleh itu rentak perlawanan membawa perbezaan. Austria cuba memperlahankan rentak dengan menguasai pergerakkan bola tetapi kita meneruskan rentak pantas serta barisan pertahanan menampilkan aksi yang cemerlang untuk menyerap asakan penyerang Austria, “katanya.

Sementara itu jurulatih Kanada, Paul Bundy, berazam menebus kekecewaan tewas dua kali kepada Malaysia pada Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh, Mac lalu.

"Kali ini kita berharap untuk mengubah keputusan pada pertemuan ketiga selepas aksi di Ipoh itu. Selepas sampai ke tahap ini, kita sudah pasti mahu memburu gelaran ini,” katanya.

Pada saingan Piala Sultan Azlan Shah, Malaysia menewaskan Kanada 3-2 pada pusingan awal dan 4-2 pada penentuan tempat ketiga.

Pada final hari ini, Malaysia dan Kanada akan bertemu pada jam 8.05 malam manakala perlawanan penentuan tempat ketiga antara Itali dan Austria akan berlangsung jam 5.50 petang. - BERNAMA .

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain