suria

Piala ACL: Safawi antara 10 pemain muda terbaik Asia

Safawi tiba di Jepun bagi aksi pertama Piala ACL 2019. Foto kredit: Johor Southern Tigers

PENYERANG Johor Darul Ta'zim, Safawi Rashid disenaraikan dalam 10 pemain muda terbaik dalam saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2019.

Safawi, 21,  yang juga bermain di bahagian tengah membawa tanggungjawab besar buat JDT menjelang perlawanan pembukaan liga bertemu kelab Jepun Kashima Antlers Selasa  ini.

"Saya bersyukur dan mahu memberi fokus dalam aksi liga ini.

"Itu dianggap sebagai semangat untuk membantu saya beraksi lebih baik buat pasukan JDT dalam saingan ini.

"Bagi saya ia tiada tekanan kerana pentas ACL ini adalah tempat pasukan mencungkil bakat saya dan pemain-pemain muda yang lain ," ujarnya kepada mStar Online sebelum ini.

Berdasarkan laporan liga Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Safawi merupakan pemain bintang Asia Tenggara yang bakal menunjukkan aksi pertama di pentas ACL.

Safawi juga telah mempamerkan kelasnya tersendiri dan kemampuan menjaringkan gol ketika saingan Piala  AFC dua tahun lalu.

Tidak perlu dipertikaikan, pemain kelahiran Dungun, Terengganu itu mempunyai keistimewaan tersendiri dengan 'bola mati' dan jaringan jarak jauh.

Dia juga dilabelkan sebagai pemain yang mempunyai kemahiran di bahagian pertahanan dan kreativiti menghantar bola kepada rakan sepasukan.

Safawi yang merupakan antara tonggak utama dalam skuad kebangsaan dan membantu Malaysia melayakkan diri ke suku akhir Piala AFC Bawah 23 Tahun serta menjaringkan gol di pentas akhir Piala AFF tahun lalu.

Sementara itu, pemain muda lain yang menjadi pertian termasuk Bassam Al Rawi,21, (Al Duhail, Qatar), Hiroke Abe (Kashima Antlers, Jepun), Safaa  Hadi (Al Zawraa), Supachai Jaided (Buriram United, Thailand), Allahyar Sayyad (Esteghlal, Iran), Yahya Al Ghassani (Al Wahda, UAE), Zhang Yuning (Beijing FC, China), Jasurbek Yakshiboev (Pakhtakor, Uzbekistan) dan Han Seung-gyu (Jeonbuk Hyundai Motors, Korea Selatan). 

Safawi Rashid, JDT, Piala ACL, AFC

Artikel Lain