suria

Lang Merah buntu menentang Semut Merah di laman sendiri

Penjaga gol PKNS FC, Muhammad Zarif Irfan Hashimuddin beraksi cemerlang menentang Kedah di Stadium Darul Aman pada Sabtu malam. - Bernama

JUARA Liga Super sebanyak dua kali, Kedah gagal menggunakan kelebihan beraksi di laman sendiri untuk merampas takhta liga apabila terikat tanpa jaringan dengan PKNS FC di Stadium Darul Aman, Alor Setar.

Malah, aksi itu turut dicemari dengan insiden kad merah, apabila pemain skuad Lang Merah yang diimport dari Brazil, Renan Da Silva Alves dibuang padang kerana mengasari pemain skuad Semut Merah, Muhamad Faizat Mohamad Ghazali pada minit ke-86.

Keputusan itu menyaksikan juara lima kali berturut-turut, Johor Darul Ta'zim (JDT) kekal di persada liga dengan 13 mata, manakala Kedah berada di tempat ketiga dengan 11 mata daripada lima perlawanan liga setakat ini.

Keputusan itu turut membantu Pahang melonjak ke tempat kedua dengan 11 mata berdasarkan kelebihan gol berbanding Kedah, selepas membenam PKNP FC 3-0 di Stadium Majlis Perbandaran Manjung.

Skuad Tok Gajah bermula garang menerusi jaringan pemain import dari Brazil, Joseph Eduardo seawal minit kedua, sebelum jaringan pemain import dari Nigeria, Dickson Nwakaeme pada minit ke-49 dan Nor Shahrul Idlan Talaha pada minit ke-73 melengkapkan kemenangan itu.

Sementara itu, Felda United FC berjaya meraih kemenangan pertama musim ini selepas menewaskan pendatang baharu, Petaling Jaya (PJ) City FC 1-0 di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, Pahang, menerusi jaringan sepakan penalti pemain import dari Jepun, Keida Ikeda pada minit ke-29.

Dalam saingan Liga Premier, Md Rozaimi Abd Rahman muncul wira pasukan JDT II apabila menjaringkan dua gol untuk membantu skuad Harimau Selatan mengalahkan Kelantan 2-0 di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang.

Jaringan pada minit ke-40 dan 58 itu, turut membantu JDT II merampas kembali kedudukan teratas liga dengan 12 mata penuh daripada empat perlawanan. - Bernama

Lang Merah

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain