suria

Aidil mahu pemain Kedah bertenang

KETUA Jurulatih Kedah, Aidil Sharin Ishak (gambar) tidak mahu pemain skuad hijau kuning tertekan untuk mencari kemenangan ketika menerima kunjungan PKNS di Stadium Darul Aman pada Sabtu malam.

Pengendali dari Singapura itu sebaliknya mahu  kesebelasan yang diturunkan nanti memberi perhatian sepanjang perlawanan dan berusaha  selain kekal mengikut disiplin yang diterapkan.

Menurutnya, setiap pasukan yang perlu Kedah hadapi mempunyai kekuatan dan kelebihan tersendiri dan oleh itu tiada jalan mudah untuk mendapat kemenangan.  

“PKNS adalah pasukan yang berjaya menewaskan Selangor 4-0 di Stadium Shah Alam dan ini perlu jadi amaran kepada barisan pemain kita untuk lebih berwaspada dan memastikan segala arahan latihan dapat diamalkan pada perlawanan ini.  

“Setelah melalui empat perlawanan sebelum ini ada pasukan yang kalah mampu mengukir kemenangan dan yang menang pula dikalahkan oleh lawan mereka, ketika ini kita tidak mampu menilai kekuatan mana-mana lawan kita.  

“Hanya kesungguhan dan disiplin yang tinggi daripada kesemua pemain yang beraksi serta sokongan padu penyokong beraksi mampu mencerahkan harapan kita untuk mengutip mata penuh kali ini,” katanya kepada mStar Online. 

Aidil Sharin menambah, pemain tengah Kedah, Anmar Faris Almubaraki kinictelah pulih daripada kecederaan yang dialami ketika bertemu Felda United dan bersedia untuk diturunkan.  

“Namun penggantinya, Shahrul Azwari Ibrahim juga telah beraksi dengan baik ketika bertemu PJ City dab berjaya menjaring gol. Jadi kita akan buat keputusan terbaik dalam pemilihan pemain kali ini.  

“Kita juga boleh mengekalkan kesebelasan utama yang telah berjaya menewaskan PJ City kerana mereka telah melakukan yang terbaik dalam perlawanan berkenaan," ujarnya.

Selain itu beliau berkata, Renan Alves yang dikatakan cedera ketika menjalani latihan dua hari lalu tidak menghadapi masalah untuk berkhidmat selama 90 minit permainan.

Aidil Sharin Ishak

Artikel Lain