suria

Kelantan United tumbangkan MPKj FC 8-0

Foto Facebook Kelantan United Football Club

KELANTAN United mengetuai tujuh pasukan  mara ke pusingan kedua saingan Piala FA 2019 selepas membelasah MPKj FC 8-0 di Stadium MMU, Cyberjaya, Sabtu.

Pada perlawanan tersebut, Fakhrul Zaman Zawawi meledak jaringan hatrik pada minit ke-10, 14' dan 42', selain Shahrul Hakim Rahim yang turut mencatat hatrik pada minit ke-21, 68' dan sepakan penalti pada minit ke-79.

Dua lagi gol pasukan pelawat dihasilkan oleh Famirul Asraf Sayuti pada minit ke-44 dan Fikram Mohamada pada masa kecederaan babak kedua perlawanan.

Dalam pada itu, wakil pasukan Liga Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Batu Dua FC terpaksa bergelut sebelum menundukkan Klasiko FC 2-1 di Arena Universiti Malaya.

Dua gol pasukan tuan rumah dijaringkan oleh Fakhrurazi Musa pada penghujung babak pertama perlawanan dan Faizal Ab Aziz pada minit ke-85, manakala Klasiko FC meraih gol sagu hati menerusi sepakan penalti Faiq Shah pada minit ke-89.

Lain-lain keputusan menyaksikan PIB FC menang tipis 2-1 ke atas Real Chukai FC di Stadium UPM, Serdang, Protap FC menundukkan Banggol Tokku FC 2-1 di Stadium Majlis Perbandaran Subang Jaya.

Kampung Raja Uda FC tewas 0-2 kepada JBFA di Stadium UKM, Bangi, FC Pemanis kalah 0-3 kepada Kuching FA di Padang Astaka, Kuala Berang, Hulu Terengganu, manakala MD Besut FC kecundang 1-2 kepada Jerantut FA di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

Untuk rekod, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengubah format Piala FA yang menyaksikan penyertaan 38 pasukan amatur yang akan berentap dalam pusingan kelayakan Piala FA yang diperkenalkan pada 1990.

Daripada jumlah berkenaan, 14 merupakan pasukan yang beraksi dalam saingan Liga M3, manakala 24 pasukan lagi adalah pasukan daripada Liga M4.

Undian pusingan kedua Piala FA akan berlangsung Isnin ini. - Bernama

Kelantan United

Artikel Berikut

Artikel Lain