JDT pintas Pahang, PKNS FC naik dua anak tangga - Sukan | mStar

JDT pintas Pahang, PKNS FC naik dua anak tangga

Pemain JDT, Diogo Luis Santo menanduk bola dari dirampas oleh pemain Melaka pada perlawanan Liga Super Malaysia 2019 Johor Darul Ta'zim menentang Melaka di Stadium Tan Sri Dato'Haji Hassan Yunos. - Bernama

JUARA bertahan Johor Darul Ta'zim (JDT) mengekalkan rekod tanpa kalah dalam saingan Liga Super selepas empat perlawanan apabila menang tipis 2-1 ke atas Melaka di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam Sabtu.

Kemenangan tersebut menyaksikan skuad Harimau Selatan memintas sementara kedudukan Pahang di tangga kedua, namun kedudukan tersebut dijangka berubah sekiranya Pahang berjaya menewaskan Selangor di laman sendiri, Ahad.

JDT berkongsi 10 mata dengan pendahulu, Kedah, namun skuad Lang Merah unggul di persada liga menerusi perbezaan jaringan.

Pada aksi di Larkin, JDT mendahului 2-0 hasil sepakan penalti Gonzalo Cabrera pada minit ke-34, sebelum pemain kebangsaan, Muhd Safawi Rasid menggandakan jaringan untuk pasukan tuan rumah, selang sembilan minit kemudian.

Melaka berjaya merapatkan defisit jaringan menerusi Patrick Alcala Reichelt pada minit ke-72.

PKNS FC pula naik dua anak tangga ke kedudukan keempat selepas menang tipis 1-0 ke atas PKNP FC di Stadium Shah Alam, hasil jaringan tunggal Kpah Sherman seawal minit kedua perlawanan.

Pemain Perak Wander Luz (tengah) mengawal bola ketika menentang pasukan Felda United pada pertembungan Liga Super Malaysia di Stadium Perak malam Sabtu. - Bernama

Dalam pada itu, Perak gagal menggunakan kelebihan beraksi di laman sendiri setelah seri 1-1 dengan Felda United di Stadium Perak, Ipoh.

Kapten Felda United, Muhammad Hadin Azman meletakkan pasukan pelawat di hadapan menerusi sepakan percuma menarik pada minit ke-44, sebelum Gilmar Da Silva menyelamatkan maruah Perak apabila menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti pada minit ke-71.

Dalam saingan Liga Premier, Selangor United meneruskan rentak kemenangan dengan jaringan Raslam Khan Abdul Rashid pada minit ke-27 untuk mengatasi Polis Diraja Malaysia (PDRM) 1-0 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.

Sabah turut meraih tiga mata setelah menang tipis 2-1 ke atas Sarawak di Stadium Negeri Petra Jaya, Kuching.

Dua gol Sang Badak dijaringkan oleh Rodoljub Paunovic pada minit ke-36 dan Sabri Sahar, selang dua minit kemudian manakala gol tunggal Sarawak disumbangkan oleh Pedro Henrique pada minit ke-89.

Terengganu FC II dan UKM FC pula berkongsi satu mata setelah seri tanpa jaringan pada aksi di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu. - Bernama

JDT , Pahang

Artikel Berikut

PFA gantung jawatan presiden

Artikel Berkaitan

Lebih Artikel