suria

MSN sangkal dakwaan Nur Eli Ellina

Nur Eli Ellina Azmi.

KUALA LUMPUR: Majlis Sukan Negara (MSN) menyangkal kenyataan bekas atlet gimnastik negara, Nur Eli Ellina Azmi yang mendakwa MSN mengabaikan kebajikannya selaku atlet kebangsaan.

MSN dalam kenyataan media hari ini berkata tiada sebarang isu berkaitan aduan beliau yang dimuat naik di laman sosial Instagram dua hari lepas, ekoran beliau tidak lagi berada dalam program latihan pasukan gimnastik kebangsaan, kendalian MSN ketika itu.

MSN menjelaskan selepas tamat Sukan SEA, proses pemilihan semula pasukan kebangsaan dijalankan oleh MSN bersama Persatuan Sukan Kebangsaan.

Ketika itu tiada seorang pun atlet berada dalam program MSN selama tempoh dua bulan iaitu September dan Oktober 2017.

Proses pemilihan semula atlet ke program MSN seterusnya berasaskan kepada lapan kriteria yang dipersetujui bersama persatuan sukan kebangsaan bagi tujuan persediaan atlet ke arah temasya Sukan Komanwel dan Asia 2018.

Namun Nur Eli Ellina tidak terpilih oleh Persatuan Gimnastik Malaysia dan nama beliau juga tidak dicadangkan pihak persatuan kepada Jawatankuasa Pemilihan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) yang bersidang pada 3 Oktober 2017.

"Beliau mengemukakan surat memohon justifikasi dan kriteria pemilihan yang digunakan untuk pemilihan gimnas wanita ke Sukan Komanwel 2018 pada 11 Dis 2017.

"Pihak MSN menjelaskan secara terperinci melalui surat kepada beliau bertarikh 10 Jan 2018 dan Nur Eli Ellina mengambil maklum dan seterusnya mengambil keputusan bersara melalui surat bertarikh 2 Februari lalu," jelas kenyataan yang dikeluarkan cawangan Komunikasi Korporat MSN itu. - BERNAMA

MSN, Nur Eli Ellina

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain