suria

Selamat tinggal Ghaddar!

Mohammad Ghaddar.

PETALING JAYA: Jodoh penyerang kelahiran Lubnan, Mohammad Ghaddar bersama The Red Warriors (TRW) hanya bertahan selama tiga bulan sahaja selepas kontraknya ditamatkan Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa).

Presiden Kafa, Bibi Ramjani Ilias Khan berkata, penamatan kontrak pemain berusia 34 tahun itu dibuat atas persetujuan kedua-dua pihak.

Jelas beliau, Kafa terpaksa melepaskan Ghaddar pada jendela perpindahan kedua Liga Malaysia (Liga - M) musim ini kerana pemain itu bergelut dengan kecederaan ligamen lutut.

"Kontraknya bersama Kafa sudah ditamatkan kerana masalah kecederaan. Proses ini sudah dimuktamadkan hasil persetujuan bersama.

"Dia memerlukan tempoh rawatan yang panjang jadi kita terpaksa lepaskannya," kata Bibi kepada mStar Online.

Ditanya mengenai bayaran gaji, Bibi berkata Kafa akan melunaskan bayaran tersebut secara berjadual.

"Tidak timbul masalah kerana perkara ini turut sudah dipersetujui bersama," katanya.

Ghaddar kembali semula ke Kota Bahru pada 12 Februari lalu selepas menyertai Johor Darul Ta'zim (JDT) dengan bayaran perpindahan tertinggi dalam sejarah.

Penyerang Lubnan itu menyertai JDT dengan reputasi besar selaku penjaring terbanyak Liga Super pada Mei tahun lalu.

Ghaddar sebelum ini melakar sejarah baharu dalam saingan Liga Malaysia apabila yuran perpindahannya mencecah RM1.2 juta.

Sekembalinya ke Kelantan, Ghaddar hanya mampu meledak dua gol iaitu masing-masing satu dalam Liga Super dan Piala FA.

Pada musim lalu, Ghaddar menjaringkan 18 gol dalam 12 perlawanan sebelum berhijrah ke JDT.


Mohammad Ghaddar, Kafa

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain