suria

Mourinho Berjaya Tiru Conte

Jose Mourinho. -fotoAFP

PENGURUS Manchester United Jose Mourinho telah mengikut satu laluan yang betul di Old Trafford musim ini.

Demikian menurut bekas bintang Liverpool, Stan Collymore, yang memuji kekuatan pertahanan Red Devils.

United menduduki tempat kedua dalam carta Liga Perdana Inggeris menjelang kunjungan ke Anfield pada Sabtu setelah mengumpul 19 mata dari tujuh perlawanan.

Walaupun mereka kini mengumpul 21 gol, kebanyakan kejayaan mereka diperolehi daripada barisan pertahanan yang kukuh.

United telah mencatatkan enam kemenangan setakat ini dan seri 2-2 sekali dengan Stoke.

Collymore berkata Mourinho telah menubuhkan satu pasukan seperti yang dilakukan Antonio Conte semasa kempen 2016/17, yang mana Chelsea berjaya menjadi juara.

Menulis untuk Mirror, Collymore menerangkan: "Bos United, Jose Mourinho adalah seorang yang pragmatis ketika menubuhkan pasukan.

"Dia mengutamakan barisan pertahanan terlebih dahulu, kemudian barulah bimbang tentang serangan. Ia nampaknya menunjukkan hasil yang baik pada masa lalu dan juga sekarang, untuk dirinya.

"Antonio Conte melakukan perkara yang sama di Chelsea musim lalu."

Collymore berkata, Jurgen Klopp bagaimanapun telah mengambil laluan yang sama sekali berbeza di kelab lamanya, Liverpool.

"Di Liverpool, ia bertentangan," katanya.

"Pemain depan Klopp kini mendapati diri mereka dalam keadaan di mana mereka turun bermain kerana mereka perlu menjaringkan sekurang-kurangnya dua gol bagi berpeluang  mendapatkan mata."

United kini tujuh mata di depan Liverpool, yang kini menduduki tempat ketujuh dalam Liga Perdana Inggeris.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain