suria

FAP: Zairil Letak Jawatan

Zairil Khir Johari.

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari meletak jawatan sebagai Presiden Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) berkuat kuasa serta-merta.

Beliau berkata keputusan itu dibuat selepas gagal memacu pasukan tersebut untuk kekal dalam pentas Liga Super musim depan.

"Justeru, saya selaku Presiden Persatuan Bolasepak Pulau Pinang (FAP) mengambil tanggungjawab penuh terhadap kegagalan pasukan Pulau Pinang musim ini dan meletak jawatan sebagai presiden berkuat kuasa serta-merta.

"Walaupun perjalanan saya dalam FAP adalah singkat, namun banyak yang telah saya harungi, pahit dan manis. Saya dan pasukan pengurusan telah melakukan yang terdaya dan yang terbaik," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Zairil berkata apabila strategi membawa masuk jurulatih asing tidak membuahkan hasil, FAP menggantikan Ashley Westwood dengan legenda bola sepak tempatan, Zainal Abidin Hassan. Namun, katanya, nasib tidak menyebelahi pasukan itu.

"Pun begitu, saya bangga dengan program pembangunan akar umbi. Di bawah seliaan saya, kami telah mewujudkan pasukan bawah-16 dan bawah-14 untuk mewakili FAP.

"Pasukan bawah-16 berjaya melayakkan diri ke separuh akhir kejohanan JSSL Pro-7s di Singapura, manakala pasukan bawah-14 menjadi naib juara Piala Dunia Remaja Gothia di China. Mereka adalah harapan kita untuk Pulau Pinang!," katanya.

Pada masa sama, beliau turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pegawai dan warga FAP serta kerajaan negeri atas sokongan yang diberikan selama ini.

"Akhir sekali, saya juga amat berterima kasih kepada para penyokong pasukan Harimau Kumbang yang sentiasa cekal bersama pasukan tidak kira keadaan.

"Sebagai seorang peminat setia, saya mendoakan yang terbaik untuk pasukan Pulau Pinang dan semoga maju jaya dalam mengharungi cabaran masa depan. Saya akan tetap menyokong dan hadir ke stadium meskipun hanya dari kerusi penonton.

"Saya berharap pasukan kesayangan kita ini akan kembali bangkit dan menggegar liga sebagaimana suatu ketika dahulu. Ayuh semua, demi negeri kita! Haria Penang Haria!," katanya.

Zairil dilantik menerajui FAP bagi menggantikan Datuk Nazir Ariff Munshi Ariff yang meletakkan jawatan Januari lalu.

Pulau Pinang kini menduduki tangga paling corot selepas hanya mengumpul 12 mata daripada 21 perlawanan.

Anak buah Zainal Abidin itu akan melayan kunjungan Selangor pada 28 Oktober ini, aksi terakhir bagi saingan Liga Super musim 2017.

Zairil Khir Johari, FAP

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain