suria

Lesen Kelab: Kafa Optimis Penuhi Kriteria Ditetapkan

Bibi Ramjani Ilias Khan.

PETALING JAYA: Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) optimis dapat memenuhi segala kriteria yang ditetapkan bagi membolehkan skuad The Red Warriors (TRW) mendapatkan lesen kelab Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) sebelum 15 Oktober ini.

Presidennya, Bibi Ramjani Ilias Khan berkata setakat ini proses ke arah memenuhi kriteria tersebut sudah 95 peratus diselesaikan.

"InsyaAllah sebelum 15 Oktober ini kita akan penuhi sepenuhnya kelayakan bagi memastikan lesen pasukan diperolehi untuk membolehkan kita bertanding (Liga Super) musim depan.

"Boleh dikatakan, sekarang cuma tinggal lima peratus lagi (peratusan kerja) yang perlu kita selesaikan yang mana ia melibatkan tunggakan gaji dua bekas pemain import," katanya ketika dihubungi mStar Online.

Beliau berkata penyelesaian tunggakan gaji pemain merupakan antara kriteria utama yang perlu dipenuhi bagi membolehkan permohonan lesen kelab FAM dan AFC pasukan itu diluluskan.

"Kita dah lunaskan bayaran gaji Piala Presiden bulan September dan kakitangan serta beberapa bil tertunggak dengan menggunakan baki duit tajaan.

"Cuma sekarang hanya tinggal bayaran tunggakan gaji kepada dua bekas pemain import Kelantan yang sudah membuat aduan kepada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA)," katanya.

Justeru, Bibi menggesa penaja yang masih mempunyai tunggakan penajaan agar menyelesaikan wang tajaan mereka bagi membolehkan pihak pengurusan Kafa melunaskan tunggakan gaji dua bekas pemain import pasukan tersebut.

"Saya minta jasa baik penaja melalui surat rayuan bertulis dari Kafa supaya membayar baki wang tajaan agar tunggakan gaji tahun lepas dua pemain terbabit dapat dilunaskan," katanya.

Diminta mengulas mengenai jumlah tunggakan gaji tersebut, Bibi bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenainya.

"Jumlah kita rahsiakan sebab ia melibatkan pengurusan lama. Tapi insyaAllah kita selesaikan kerana ia syarat wajib untuk dipenuhi pasukan," katanya.

Difahamkan tunggakan gaji itu membabitkan dua bekas pemain import Kelantan, Erwin Carrillo dan Jonathan McKain yang sudah membuat aduan mengenai kes tersebut kepada Fifa tahun lalu.

KAFA, FAM, AFC

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain