suria

JDT Juara Liga Super Kali Keempat Berturut-turut

Barisan pemain JDT bergambar bersama penonton JDT selepas perlawanan Liga Super 2017 menentang Selangor di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, Sabtu malam. Foto Bernama

KUALA LUMPUR: Pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT)  muncul juara Liga Super buat kali keempat berturut-turut walaupun tewas 1-2 kepada Selangor pada aksi di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, dekat sini, Sabtu malam.

Kekalahan itu tidak menggugat JDT untuk terus mempertahankan Piala Liga Super menerusi kelebihan 11 mata berbanding pencabar terdekat, Kedah dengan tiga baki perlawanan.

Lebih manis, kejayaan tersebut turut disaksikan oleh pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang berkenan menyaksikan perlawanan itu.

Untuk rekod, JDT muncul juara Liga Super sejak 2014.

Pada aksi di Selayang, JDT terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi Natxo Insa pada minit ke-38 sebelum Selangor bangkit melakar dua gol hasil sumbangan Mohd Amri Yahyah pada minit ke-59 dan pemain gantian, Andik Vermansah pada minit ke-77.

Pada aksi berkenaan, Pahang meraih jaringan menerusi Yamil Jorge Gonzalo Romero pada minit ke-64 dan Matheus Alves Leandro pada minit ke-79 manakala Kedah memperolehi gol tunggal hasil sentuhan penyudah, penyerang Muhammad Syafiq Ahmad pada minit ke-77.

Perak pula kekal di tangga keenam liga walaupun mengatasi PKNS FC 2-0 di Stadium Perak, Ipoh.

Dua gol skuad 'The Bos Gaurus' dijaringkan oleh Mohd Nazrin Mohd Nawi pada minit ke-55 dan Gilmar Jose Da Silva Filho, selang empat minit kemudian.

Kelantan pula gagal menggunakan kelebihan beraksi di laman sendiri setelah seri 1 - 1 menentang Felda United di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu.

Pasukan pelawat terlebih dahulu berada di depan menerusi Ifedayo Olusegun Patrick Omosuyi pada minit ke-24 sebelum Alessandro Padovani Celin menyamakan kedudukan untuk Kelantan, selang seminit kemudian.

Dalam pada itu, Melaka United terus menghidupkan peluang untuk keluar daripada zon penyingkiran setelah menang bergaya 5-1 ke atas T-Team di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

Lima gol Melaka United dijaringkan oleh Marko  Simic pada minit ke-50 dan ke-89, Muhammad   Fauzi Rozlan (minit ke-60), G. Puaneswaran (minit ke-70) dan Felipe De Almeida Souza pada minit ke-73.

T-Team memperoleh gol tunggal hasil jaringan Muhammad Fauzi Abdul Kadar pada minit ke-32.

Sementara itu, Pulau Pinang sah tersingkir ke saingan Liga Perdana, musim depan setelah kalah 0-2 kepada Sarawak di Stadium Negeri Petra Jaya, Kuching.

Dua gol skuad Bujang Senang dijaringkan oleh Mohamad Alif Hassan pada minit ke-51 dan Awang Kamaruddin Awang Bohan pada minit ke-72.

Terdahulu, Pulau Pinang terpaksa beraksi dengan 10 pemain setelah Mohd Azrul Ahmad dilayangkan kad merah oleh pengadil Wan Mohamad Tarmizi pada minit ke-61 kerana cuba menumbuk pemain import Sarawak Milos Raikovic. - Bernama

JDT

Artikel Sebelum

Mbappe Di Manchester?

Artikel Lain