suria

"Tiada Apa-Apa Nak Komen" - Annuar

Annuar Musa.

PETALING JAYA: Tan Sri Annuar Musa mengambil pendekatan untuk mengunci mulut mengenai peletakan jawatannya sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa).

Ahli Parlimen Ketereh itu dalam satu kenyataan balas menerusi aplikasi WhatsApp kepada mStar Online sekadar memaklumkan beliau enggan mengulas mengenai perkara itu.

"Tiada apa-apa nak komen," katanya ringkas.

Annuar menerusi laman Facebooknya pada Selasa memuat naik salinan surat rasmi peletakan jawatannya berkuat kuasa serta merta.

"Saya berharap tugas ini (Presiden Kafa) dapat dipikul oleh mereka yang lebih mampu mengangkat kecemerlangan bola sepak Kelantan seperti mana yang berjaya dilakukan oleh negeri-negeri lain," katanya.

Annuar, yang menyandang jawatan itu sejak 2008, berkata beliau sentiasa yakin Kelantan mampu mencapai kejayaan seperti pasukan lain asalkan diberi peluang untuk berbuat demikian.

Beliau yang juga Ketua Penerangan Umno melakar pelbagai kejayaan bersama skuad The Red Warriors itu antaranya meraih kejuaraan treble pada 2012.

Sebelum ini, Annuar pernah menyuarakan hasrat untuk melepaskan jawatan itu memandangkan beliau sibuk dengan tugas sebagai anggota Parlimen, wakil rakyat, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Ketua Penerangan Umno untuk mencari penaja bagi menampung kos perbelanjaan KAFA.

"Saya mengaku saya tidak mampu mencari RM16 juta setahun, (atau) sejuta lebih sebulan, tidak mudah.

"Saya pula wakil rakyat, banyak tanggungjawab untuk lawat kawasan, tanggungjawab dengan MARA untuk mengatasi masalah pelajar.

"Saya tidak boleh luangkan (masa) untuk bola macam dulu tetapi saya mahu lihat Kelantan maju," katanya ketika diwawancara oleh mStar pada 2 November lalu.

Sementara itu, bekas penaja Kelantan, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman melahirkan rasa terkejut mengenai keputusan Annuar untuk meninggalkan Kafa.

"Saya amat terkejut. Tidak sangka dia akan buat keputusan sebegitu. Mungkin beliau ada alasan tersendiri," katanya.

Namun Hasmiza atau lebih dikenali sebagai Vida berkata, beliau berharap agar Annuar mempertimbangkan semula keputusan tersebut demi masa depan pasukan itu.

"Walaupun saya tidak lagi menaja pasukan, sebagai anak jati Kelantan saya harap beliau fikir semula keputusan tersebut. Saya rasa sukar nak cari pengganti yang layak seperti beliau untuk memacu pasukan itu," katanya.

Annuar Musa, Kafa, peletakan jawatan

Artikel Berikut

TMJ Diiktiraf Ahli Kehormat WFS