suria

Azmeer Yusof Akui Terima Lima Tawaran

Azmeer Yusof.

“SAYA tak pernah minta dilepaskan Persatuan Bolasepak Kedah (KFA)," demikian luahan pertahanan Kedah, Azmeer Yusof mengenai pelbagai khabar angin yang disebarkan mengenai masa depannya bersama skuad hijau kuning.

Bagaimanapun Azmeer turut mengakui menerima tawaran daripada lima pasukan yang mahukan khidmatnya untuk musim depan.

Pemain kelahiran Perak itu berkata, dia kecewa dengan pelbagai khabar angin yang disebarkan di laman sosial kerana tidak melambangkan pendiriannya.

“Saya sudah dihubungi oleh pihak KFA mengenai kontak baharu. Saya juga ada terima tawaran daripada lima pasukan yang beraksi pada Liga Malaysia.

"Tapi saya belum buat sebarang keputusan setakat ini. Hanya khabar angin saja yang menyebut saya minta dilepaskan.

"Sekarang saya sedang bercuti bersama isteri (Nur Syafina Nazeri) dan anak (Nur Melissa Sofea) dan tak nak fikir lagi.

"Saya tak nak campurkan urusan kerja dengan karier, lepas cuti baru saya akan umumkan mengenai masa depan bersama Kedah," katanya kepada mStar Online.

Azmeer menambah, ramai penyokong meminta dia terus bersama Kedah kerana sedang mencipta nama dan permintaan itu dihargai sepenuhnya.

Namun baginya tiada yang kekal di dunia ini, dia berpuas hati kerana berjaya menghadiahkan Piala Malaysia kepada skuad hijau kuing seperti yang menjadi harapan penyokong dan pihak pengurusan.

"Jika saya tinggalkan Kedah sekalipun biarlah bersama kejayaan.

"Cuma sepanjang saya berada di Kedah, banyak perkara yang saya terpaksa korbankan termasuk masa saya bersama anak. Terlalu terhad utk saya lihat anak membesar.

"Untuk saya terus bersama Kedah banyak perkara yang harus saya fikirkan dulu. Insya-allah dalam masa terdekat ini saya akan membuat keputusan," luahnya.


KFA, Azmeer Yusof

Artikel Sebelum

TMJ Diiktiraf Ahli Kehormat WFS

Artikel Berikut

Artikel Lain