suria

Peningkatan Pendapatan Pasukan Lebih Penting Berbanding Hadiah - FMLLP

PETALING JAYA: Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) menekankan bahawa aspek peningkatan pendapatan secara keseluruhan lebih penting berbanding jumlah hadiah yang ditawarkan dalam Liga Malaysia bagi menjamin status kewangan pasukan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kevin Ramalingam berkata, sebagai contoh, hadiah wang tunai yang ditawarkan dalam mana-mana liga di serata dunia boleh dikatakan tidak berbaloi jika dibandingkan dengan perbelanjaan sesebuah pasukan.

"FMLLP lebih mementingkan peningkatan pendapatan secara keseluruhan supaya setiap pasukan yang bertanding akan mendapat pembahagian yang secukupnya.

"Hadiah yang dimenangi kebiasaannya diberikan kepada pemain sebagai bonus," katanya ketika ditemui mStar di sini pada Rabu.

Sementara itu, mengulas tentang kenyataan pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim tentang pembahagian bayaran hak penyiaran yang tidak adil antara Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan pasukan Liga Malaysia, Kevin menyifatkan Tengku Mahkota Johor tersebut mempunyai pendapat yang jelas.

Namun katanya, pecahan keuntungan tersebut perlu dibuat di peringkat pemegang saham kesemua 24 pasukan dan FAM sendiri.

"Di peringkat tersebut, perlu ada persetujuan untuk pecahan (keuntungan) yang berbeza.

"Sekiranya ada (persetujuan) FMLLP dari segi pengurusan akan memastikan (pembahagian) pecahan itu dilaksanakan. Itu tugas kami,"katanya.

Tunku Ismail berkata sedemikian ketika menyampaikan ucapan pada Sidang Kemuncak Bola Sepak di Sepanyol baru-baru ini berkenaan pembiayaan hak penyiaran yang tidak mencukupi kerana persatuan bola sepak negara mengambil lebih banyak bahagian daripada menyumbang kepada pasukan. 

FMLLP, Kevin Ramalingam, TMJ, Tunku Ismail, JDT

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain