suria

Robin van Persie Diserbu Penyokong Fenerbahce

Robin Van Persie yang memakai selendang kelab bolasepak Turki, Fenerbahce telah diserbu oleh para peminatnya sebaik sahaja dia tiba di Istanbul untuk menjalani ujian perubatan dengan kelab itu pada tengah hari Ahad.

> Penyerang Man Utd, Robin van Persie mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Sabhia Gokcen, Istanbul pada Ahad

> Van Persie tiba untuk menjalani ujian perubatan di Fenerbahce

> Jika segala berjalan lancar, dia akan tanda tangani kontrak tiga tahun

> Kelab Turki itu sanggup membayar tuntutan gajinya sebanyak £240,000 seminggu

> Van Persie akan menyertai seorang lagi rakan sepasukannya di United, Nani

PENGURUS Manchester United, Louis van Gaal enggan mengesahkan atau menafikan pertanyaan bertalu-talu wartawan mengenai khabar angin perpindahan penyerang dan rakan senegaranya, Robin van Persie ke kelab Turki, Fenerbahce.

Tetapi kini itu semua sudah tidak relevan lagi apabila penyerang tersebut dilihat menaiki sebuah pesawat peribadi pada Ahad sambil memakai selendang rasmi Fenerbahce di bahunya dan tidak lama selepas mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Sabhia Gokcen di Istanbul dia telah disambut oleh beribu peminat kelab berkenaan yang menanti ketibaannya bagaikan seorang wira baru.

Pemain berusia 31 tahun itu tersenyum sambil melambai-lambaikan tangannya ke arah ribuan peminat barunya itu dan sekali lagi mengenakan selendang Fenerbahce di lehernya.

Suasana itu sudah cukup untuk menceritakan segala-galanya akan apa yang bakal berlaku dalam tempoh beberapa jam ini.

Jelas sekali misinya ke Istanbul bukanlah untuk makan angin tetapi sebaliknya dengan matlamat yang satu iaitu menyertai sebuah kelab baru - sekaligus mengucapkan selamat tinggal kepada United.

Sebelum itu, Van Persie sudah pun mencetuskan viral dengan memuatnaikkan fotonya dan ahli keluarganya di luar pesawat peribadi berkenaan dalam laman sosial rasmi miliknya.

Khamis lalu, Fenerbahce telah membuat satu kenyataan yang mereka sedang dalam rundingan dengan United berhubung perpindahan van Persie ke Turki.

Bagaimanapun van Gaal yang ditanya mengenai kenyataan itu enggan mengesahkan atau menafikannya. Tetapi sebaliknya dia menegaskan tidak ada apa yang rasmi selagi mereka (para wartawan) tidak mendengarnya dari mulut Manchester United sendiri.

Sehingga saat ini, United tidak mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung perpindahan van Persie ke Fenerbahce walaupun pemain itu sudah ke sana untuk menjalani ujian perubatan dan kecergasan.

Media-media massa di Britain menyebut, van Persie akan menerima bayaran gaji £240,000 seminggu di Fenerbahce, iaitu sama dengan apa yang diperolehinya di United tetapi dengan jaminan yang dia akan menjadi pilihan utama yang mana United tidak boleh memberi jaminan yang sama kepadanya.

Van Persie telah menjaringkan 30 gol untuk United pada musim pertamanya (2012-13) selepas menyertai kelab itu pada harga perpindahan sebanyak £24 juta dari Arsenal sekaligus mengembalikan kejuaraan liga kepada United.

Malangnya sebaik sahaja Sir Alex Ferguson meletakkan jawatan dan diganti oleh David Moyes, pretasi van Persie jadi tidak menentu - sebahagian besarnya disalahkan ke atas sistem latihan Moyes yang berlainan.

Kemudian apabila Moyes dipecat dan diganti oleh van Gaal, van Persie dilanda kecederaan lutut yang menyebabkan dia hanya mampu menjaringkan 10 gol dalam 29 perlawanan di bawah bekas pengurus skuad kebangsaan Belanda itu.

Hubungan mereka berdua menjadi spekulasi pihak media akhir-akhir ini lebih-lebih lagi selepas terbongkar cerita kononnya, van Persie diarahkan berlatih sendirian oleh van Gaal.

Jika van Persie sah menyertai Fenerbahce, dia akan menjadi pemain United yang kedua berbuat demikian dalam tempoh seminggu. Isnin lalu, pemain sayap United, Nani telah dibeli oleh Fenerbahce pada harga £4.25 juta.

Dengan ketiadaan van Persie ini juga bermakna, United hanya mempunyai tiga orang penyerang sahaja buat masa ini untuk musim baru iaitu Wayne Rooney, James Wilson dan Javier Hernandez.

Tetapi Hernandez telah mengalami kecederaan tulang bahu dan terpaksa direhatkan selama hampir dua bulan selepas menjalani pembedahan.

Artikel Lain