suria

Hoki Piala TNB: Maybank Lakar Kejutan Ke Atas THT

Pemain Terengganu, Mohd Fitri Saari Tengah) berjaya melepasi kawalan empat pemain Maybank dalam perlawanan separuh akhir pertama Piala TNB di Stadium Hoki Majlis Bandaraya Kuala Terengganu pada Rabu. Foto: BERNAMA

KUALA TERENGGANU: Maybank mencipta kejutan apabila menewaskan juara Liga Hoki Malaysia (LHM) 2014, Pasukan Hoki Terengganu (THT)3-2 pada separuh akhir pertama Piala TNB di Stadium Hoki Majlis Bandaraya KualaTerengganu, Rabu.

Beraksi di laman sendiri, THT kendalian bekas jurulatih kebangsaan Sarjit Singh ternyata 'bernafsu' memburu gol awal dengan mengasak kubu Maybank dan berjaya mendahului pada minit ke-31 menerusi pemain kebangsaan, Mohd Fitri Saari.

Kegembiraan itu, bagaimanapun tidak bertahan lama apabila pasukan lawan berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-36 menerusi pukulan sudut penalti Jiwa Mohan.

Sembilan minit kemudian, Maybank menggandakan jaringan menerusi pemain import dari Pakistan, Shakeel Abassi.

Tersentak dengan gol tersebut, THT kembali memperkemaskan permainan dan berjaya mengikat kedudukan pada minit ke-50 menerusi Baljit Singh, sekali gus menceriakan penyokong mereka yang membanjiri stadium.

Shakeel memusnahkan harapan THT untuk sekurang-kurangnya mencatat keputusan seri apabila meledak jaringan kemenangan untuk Maybank pada minit ke-58.

Sementara itu, naib juara LHM 2014, Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) sekadar seri 1-1 menentang kelab TNB pada aksi yang berlangsung di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil.

Ketua pasukan KLHC, Muhammad Razie Abd Rahim membuka tirai jaringan menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-12 sebelum pemain kebangsaan, Izad Hakimi Jamaluddin menyamakan kedudukan pada minit ke-51.

Aksi timbal balik kedua-dua perlawanan itu akan berlangsung di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil pada Jumaat ini.

Hoki Piala TNB, Maybank, THT

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain