suria

Piala AFF Suzuki: AirAsia Tidak Cukup Masa Tambah Penerbangan Malaysia-Vietnam

SEOUL: Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Group Tan Sri Tony Fernandes berkata syarikat penerbangan itu tidak akan menambah kekerapan penerbangan Kuala Lumpur-Vietnam berikutan keperluan saat akhir mendapatkan hak mendarat di Hanoi.

"Kami telah berusaha sedaya upaya untuk mengadakan penerbangan khas pada saat akhir bagi pusingan kedua peringkat separuh akhir Piala Suzuki AFF 2014 Khamis, tetapi kami tidak mendapat permit pendaratan dan amat sukar untuk berbuat demikian. 

"Bagaimanapun, orang ramai masih boleh terbang ke Hanoi melalui laluan Bangkok," katanya kepada wartawan Malaysia pada Rabu selepas memperkenalkan ikon bola sepak Korea Selatan yang juga bekas bintang Kelab Manchester United, Park Ji-sung, sebagai duta global terbaharunya.

Fernandes berkata Park dipilih memandangkan beliau boleh memberi inspirasi kepada setiap kanak-kanak Asia untuk bermain bagi liga perdana seperti mana rakyat Korea Selatan itu lakukan, selagi mereka bekerja keras.

"Beliau adalah contoh terbaik bagi orang Asia," katanya. 

Semasa ditanya mengenai peluang Harimau Malaya ke peringkat akhir Piala Suzuki, Fernandes berkata beliau berharap Malaysia boleh mencatat kejayaan dan tidak mudah berputus asa. 

Beliau berkata beliau amat kagum dengan prestasi skuad negara dalam perlawanan Malaysia-Singapura dan menjangka pemain Malaysia bermain untuk Kelab Liga Perdana Inggerisnya, Queens Park Rangers, pada masa akan datang. 

"Standard bola sepak Asia telah bertambah baik. Seharusnya ada liga bolasepak Asean memandangkan liga yang sedia ada tidak mencukupi untuk memupuk bakat di rantau ini," katanya. -BERNAMA

AirAsia, Tony Fernandes

Artikel Lain