suria

Dollah Perlu Rombak Benteng Pertahanan Berdepan Vietnam - Bekas Pemain

Dari kiri, Bakri Ibni, Datuk Soh Chin Aun, Datuk Peter Velappan dan Datuk Santokh Singh pada majlis pelancaran edisi kedua Kejohanan Bola Sepak Bawah 19 Tahun Piala 1Malaysia anjuran Yayasan Rakyat 1Malaysia (YR1M), Selasa.
KUALA LUMPUR: Jurulatih skuad Harimau Malaya, Dollah Salleh perlu merombak benteng pertahanan pada aksi separuh akhir kedua Piala AFF Suzuki 2014 menentang Vietnam di Stadium Nasional My Dinh, Hanoi, Vietnam, Khamis ini.

Bekas pemain tengah kebangsaan era 70-an, Bakri Ibni berkata kelonggaran di barisan pertahanan negara pada aksi pertama di Stadium Shah Alam, Ahad lepas, menjadi punca kekalahan Malaysia 1-2 kepada Vietnam.

"Pada aksi di Shah Alam, saya lihat pemain pertahanan kita kerap meninggalkan posisi mereka membantu bahagian tengah ketika menyerang kubu Vietnam sehingga hanya tinggal dua pemain pertahanan.

"Ini memudahkan lawan melakukan serangan mengejut menerusi corak permainan pantas. Saya harap Dollah dapat memperbaiki kelemahan di bahagian pertahanan pada aksi di Hanoi nanti kerana pemain lawan mempunyai larian pantas ketika serangan balas," kata Bakri yang juga bekas pemain Perlis.

Beliau ditemui pemberita selepas majlis pelancaran edisi kedua Kejohanan Bola Sepak Bawah 19 Tahun Piala 1Malaysia anjuran Yayasan Rakyat 1Malaysia (YR1M), di sini, Selasa.

Bekas pengendali pasukan Perlis dari 1981 hingga 1983 itu turut bimbang moral skuad Harimau Malaya, terjejas pada aksi timbal balik berikutan tindakan liar segelintir penyokong negara menyerang penyokong Vietnam pada aksi di Shah Alam kerana tidak dapat menerima kekalahan tersebut.

Pandangan Bakri turut disokong bekas Penolong Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Peter Velappan yang menggesa Dollah agar memperkuatkan benteng pertahanan pada aksi Khamis ini.

Beliau berkata adalah penting bagi jurulatih Harimau Malaya itu merombak barisan pertahanan negara untuk mengekang asakan pasukan Vietnam yang diketuai Nguyen Van Quyet.

"Saya boleh katakan gaya permainan Vietnam seperti (juara Piala Dunia FIFA 2014), Jerman di mana mereka sering mengkucar-kacirkan barisan pertahanan seperti yang dipamerkan pada separuh akhir pertama lepas. Dollah perlu mencari cara terbaik untuk mengekang situasi ini," kata Velappan yang juga merupakan bekas Setiausaha Agung Konfederasi Bola Sepak Asia.

Artikel Sebelum

Keputusan Liga Juara-Juara

Artikel Berikut

Artikel Lain