suria

Keluarga Yusof Beratur Semalaman Untuk Tiket Sokong JDT

PETALING JAYA: Sebuah keluarga dari Pasir Gudang, Johor sanggup bertolak ke Kuala Lumpur pada Khamis bagi memastikan kelancaran perjalanan mereka dalam menyaksikan aksi final Piala Malaysia pada Sabtu.

Peminat pasukan JDT itu, Yusof Mohamad dan keluarga bertolak lebih awal bagi memastikan perjalanan mereka tidak terhalang oleh kesesakan atau kerosakan kenderaan.

Skuad Harimau Selatan bakal bertemu Pahang pada perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam Sabtu.

Yusof memberitahu, dia mendapatkan tiket untuk keluarganya pada Rabu selepas beratur panjang sejak malam Selasa, sebelum bertolak ke ibu negara.

"Minggu ini saya hanya memikirkan JDT sahaja. Sebab itu saya mula beratur untuk mendapatkan tiket sejak 10.30 malam Selasa, walaupun tiket mula dijual pagi Rabu.

"Kami sekeluarga memang penyokong tegar JDT," katanya ketika ditemui di perkarangan stadium.

Tambahnya, selain dirinya, isteri dan anak juga merupakan penyokong tegar JDT selama ini.

"Kami bergerak dua hari lebih awal kerana tidak mahu terlambat.

"Isteri saya (Hayana Yaakob) sememangnya minat sukan dia tidak pernah ketinggalan menonton perlawanan di Stadium Larkin," jelas bapa kepada dua orang anak ini.

Tambah Yusof, dia berharap JDT menang 2-1 dalam perlawanan itu walaupun kecewa kerana kerajaan Johor menegaskan tidak akan memberikan cuti khas sekiranya pasukan kesayangan mereka menjuarai Piala Malaysia.

JDT, Pahang

Artikel Sebelum

Artikel Lain