suria

Gelombang Biru, Kuning Saksi Final Piala Malaysia Sabtu Ini

Grafik yang dimuatnaik menerusi FB penyokong pasukan yang bertanding malam Sabtu ini.
GELOMBANG penyokong, masing-masing dengan tema biru dan kuning bakal membanjiri seluruh pelusuk Stadium Nasional Bukit Jalil pada final Piala Malaysia, Sabtu ini.


Bakal berlangsung kurang 24 jam sebelum wisel permulaan ditiup, bahang perlawanan yang dinanti-nantikan antara Pahang menentang JDT itu semakin hangat dirasakan.

Yang pasti, menerusi laman sosial Facebook (FB) kedua-dua pasukan dapat dilihat pelbagai kata-kata semangat, arahan, peringatan dan juga peraduan dimuatnaik khusus untuk penyokong fanatik pasukan Tok Gajah dan Harimau Selatan itu.

Entri pada FB Kelab Bola Sepak Pahang mengingatkan setiap penyokong membawa satu kertas berukuran A4 kuning.

"Kuningkan Stadium Bukit Jalil Sabtu ini wahai rakyat Pahang," kata-kata semangat menerusi laman sosial pasukan yang bakal mempertahankan kejuaraan itu.

Bagi pasukan JDT yang memiliki ramai bintang bola sepak negara pula, biru menjadi pilihan.

"Jangan lupa berpakaian biru, diulangi berpakaian biru, biru, biru, biru, biru, biru, biru.

"Lautan Biru Pasti Menjadi," itulah kata-kata Boys Of Straits.

Jika Pahang menggunakan kertas A4, sebaliknya JDT pula memilih gulungan resit untuk memeriahkan perlawanan akhir kali ini.

Bukan itu sahaja, malahan penyokong JDT juga berpeluang menyertai peraduan teka gol yang menawarkan hadiah menarik.

Kita nantikan kesudahan saingan di antara kedua-dua pasukan gergasi yang merebut piala keramat yang menjadi taruhan pada lewat malam Sabtu nanti.



Artikel Berikut

Raul Sertai New York Cosmos

Artikel Lain