suria

ATM Beli Pemain Piala Dunia

KUALA LUMPUR: Seorang pemain kebangsaan Honduras yang beraksi pada Piala Dunia 2014 di Brazil bakal memperkuatkan pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M) tahun depan.

Selain pemain Honduras, yang tidak didedahkan namanya, ketua jurulatih ATM, B. Sathianathan berkata mereka turut mendapatkan khidmat bekas pemain pertahanan import Kelantan, Obinna Nwaneri.

Beliau berkata dua pemain import itu sudah melaporkan diri manakala dua lagi pemain import baharu akan tiba pada pertengahan bulan depan selepas pasukan 'The Gladiators' itu menggugurkan empat pemain import yang sedia ada.

Mereka ialah dua pemain dari Argentina, Bruno Sebastian Martelotto dan Juan Manuel, Marlon Alex James (St Vincent & the Grenadives) dan Spase Dilevski dari Australia.

Selain pemain import, kami juga akan mendapatkan khidmat enam pemain baharu tempatan bagi memantapkan pasukan, katanya kepada pemberita selepas majlis serah tugas Presiden Persatuan Bola Sepak Angkatan Tentera (PBAT) di Kementerian Pertahanan, di sini, Khamis.

Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dilantik sebagai Presiden PBAT yang baharu selepas Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin memutuskan untuk melepaskan jawatan yang disandangnya sejak 2010 atas sebab-sebab tertentu.

Sathianathan berkata skuad kendaliannya akan beraksi dalam 18 perlawanan pramusim termasuk tiga perlawanan menentang kelab Liga Perdana Thailand di Bangkok, bulan depan sebagai persediaan awal menghadapi saingan Liga-M 2015.

Dalam pada itu, Zulkifeli melahirkan rasa bangga dengan kejayaan ATM yang berjaya meraih pelbagai kejuaraan sepanjang menerajui kelab bola sepak itu termasuk muncul juara Liga Perdana dan naib juara Piala Malaysia pada 2012.

Beliau turut yakin Raja Mohamed Affandi dapat meneruskan tradisi kecemerlangan pasukan itu, musim depan.

"Saya sudah pegang jawatan ini selama empat tahun, jadi cukuplah...Beri peluang kepada Panglima Tentera Darat untuk menerajui PBAT dan saya akan memberi sokongan penuh kepada presiden yang baharu," kata Zulkifeli.

Raja Mohamed Affandi pula yakin dapat memacu ATM untuk bersaing dengan pasukan lain dalam kancah Liga-M walaupun mengakui cabaran yang bakal dilalui, musim 2015 adalah sengit.

Sebagai rekod, pasukan ATM sekadar menduduki tangga ke-10 daripada 12 pasukan dalam Liga Super musim ini selain terkandas seawal pusingan pertama Piala FA 2014.

Mereka turut menamatkan cabaran di peringkat kumpulan pertandingan Piala Malaysia 2014.


ATM, Tentera

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain