suria

FAM Guna Pakai Kod Tatatertib Baharu Untuk Kes Piala Malaysia

Tengku Mahkota Pahang yang juga Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah (tengah) berkenan menyaksikan penyerahan replika cek sebanyak RM1 juta diantara Ketua Pengarah Felda, Datuk Faizoull Ahmad (kanan) dan Naib Presiden Persekutuan Bola Sepak Asean, Mejar Jen Khiev Sameth (kiri) pada majlis penyerahan replika cek pertandingan bola sepak pantai AFF di Kuala Lumpur, Sabtu. Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Kesemua insiden melibatkan saingan Piala Malaysia musim ini akan dibincangkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) selepas Kod Tatatertib baharu diluluskan oleh badan induk itu bulan depan.

Kod Tatatertib itu diselaraskan dengan kerjasama Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, segala laporan yang diterima oleh FAM akan diserahkan kepada Jawatankuasa Tatatertib yang dipengerusikan Datuk Kang Hwee Ghee. 

Antara kes yang akan dibincangkan ialah insiden kekecohan selepas perlawanan Piala Malaysia antara Sarawak dan Perak di Stadium Negeri, Kuching, Sabtu lepas dan insiden jurulatih Kelantan George Boateng dilaporkan meluru masuk ke padang dan cuba menyerang pengadil selepas perlawanan dengan Johor Darul Ta'zim di Stadium Sultan Mohamed ke-IV, Kota Baharu, Selasa lepas.

"Kod tatatertib baharu akan diguna pakai untuk kes tersebut selepas mesyuarat exco meluluskannya pada 9 Okt ini," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan tajaan RM1 juta oleh Felda kepada Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) sempena kejohanan Bola Sepak Pantai AFF.

Hamidin berkata, sebelum pertukaran status kod tatatertib itu diluluskan oleh FAM, perkara tersebut akan dibincangkan dalam seminar melibatkan jawatankuasa integriti, tatatertib, etika dan jawatankuasa rayuan.

Majlis itu turut dihadiri oleh Presiden FAM Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, Setiausaha Agung AFF Datuk Aizuddin Ahmad dan Pengurus Besar Felda Datuk Faizoull Ahmad. 

Hamidin berkata taklimat mengenai kod tatatertib baharu akan diberikan oleh pegawai-pegawai dari AFC dan FIFA.

Sementara itu, Malaysia menjadi tuan rumah bagi kejohanan sulung Bola Sepak Pantai AFF yang akan diadakan di Kuantan, Pahang, dari 21 hingga 31 Oktober.

Lapan pasukan telah mengesahkan penyertaan iaitu Malaysia, Indonesia, Thailand, Vietnam, Myanmar, Laos, Filipina dan Felda.

Dalam pada itu, Aizuddin berkata penganjuran acara itu selari dengan Kejohanan Bola Sepak Pantai AFC 2015 yang bakal berlangsung di Doha, Qatar, pada April tahun depan.

"Saya harap kita dapat anjurkan kejohanan ini setiap tahun dan ia berkembang ke rantau Asia kerana daripada 12 negara yang terlibat dalam AFF sudah ada tujuh negara menghantar penyertaan. Saya yakin tahun-tahun seterusnya kita akan terima lebih banyak penyertaan," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain