suria

Jurulatih Skuad Wanita Mahu Kikis Label Pasukan Belasahan Di Sukan SEA

KUALA LUMPUR: Skuad bola sepak wanita negara yakin mereka tidak akan menjadi mangsa belasahan malah memasang impian untuk mara ke peringkat separuh akhir pada temasya Sukan SEA di Myanmar, bulan depan.

Biarpun menampilkan barisan baharu, jurulatih Jacob Joseph percaya komitmen dan disiplin yang ditunjukkan oleh kesemua 22 pemain itu mampu mengikis label pasukan belasahan.

Sebaliknya, katanya, anak buahnya itu berazam mencipta kejutan serta mengubah persepsi negatif terhadap sukan bola sepak wanita negara serta muncul sebagai pasukan hebat di rantau ini.

"Barisan baharu pemain ini mempunyai kelebihan pada posisi masing-masing dan mampu memberi saingan berdasarkan keputusan perlawanan persahabatan baru-baru ini," katanya kepada Bernama di sini Khamis.

Pada Sukan SEA 2009 di Laos, Jacob berkata skuad negara kalah kesemua perlawanan dengan dibelasah 14-0 oleh Thailand, Vietnam (8-0), Laos (5-0) dan Myanmar 7-1.

Acara bola sepak wanita tidak dipertandingkan pada Sukan SEA 2011 di Indonesia.

Bagaimanapun, dalam tiga perlawanan persahabatan tersebut, Malaysia mengalahkan Thailand 2-1 di sini dan kalah 3-0 di tempat lawan serta kalah 1-0 kepada Vietnam.

"Ini satu pencapaian terpuji berdasarkan pencapaian pada Sukan SEA 2009," kata bekas pemain tengah Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada tahun 80-an yang membimbing skuad itu sejak Mac tahun lepas.

Sejak membimbing skuad itu, katanya, skuad wanita itu melonjak daripada tangga ke-96 kepada 79 dalam senarai ranking dunia FIFA.

Beliau mengakui melatih skuad wanita lebih mencabar kerana tiada banyak pilihan pemain berbanding skuad lelaki selain sukar mencari pasukan selatihan untuk aksi persahabatan bagi memantapkan prestasi pasukan.

Pada saingan Sukan SEA Myanmar dari 11 hingga 22 Dis ini, Malaysia disenaraikan dalam Kumpulan B bersama Thailand, Laos dan Timor Leste manakala Kumpulan A terdiri daripada juara bertahan Vietnam, Myanmar, Filipina dan Indonesia.

Skuad negara dijadual menentang Laos pada 12 Dis sebelum bertemu Thailand (14 Dis) dan Timor Leste (16 Dis).

Kesemua perlawanan berlangsung di Mandalay.

Dalam pada itu, Jacob berharap skuad itu akan dikekalkan selepas temasya di Myanmar, kerana yakin pasukan berkenaan mampu muncul pasukan hebat seperti Thailand dan Vietnam pada Sukan SEA 2015 di Singapura. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain