suria

Malaysia Sasar Lima Tempat Teratas Pada Hoki Piala Dunia Remaja 2013

JOHOR BAHRU: Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) telah meletakkan sasaran menduduki lima tangga teratas pada Kejohanan Piala Dunia Remaja 2013 di New Dehli, India, dari 6 hingga 15 Disember ini.

Presiden MHC, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkata, sasaran itu adalah realistik memandangkan kedudukan Malaysia sebagai pasukan terbaik Asia selepas merangkul Piala Remaja Asia 2012.

Beliau berharap skuad negara negara dapat berusaha dengan lebih gigih untuk menandingi kelincahan pasukan Eropah di Piala Dunia itu dengan sasaran awal menduduki tempat dua teratas dalam kumpulan.

"Saya mahu skuad negara muncul antara lima pasukan terbaik dunia dengan layak ke pusingan kedua dan kemudian merebut lima tempat teratas," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat agung MHC di sini, Ahad.

Malaysia layak ke Piala Dunia Remaja 2013 selepas muncul juara Piala Remaja Asia 2012 dengan mengalahkan Pakistan 2-1 pada aksi final di Melaka, tahun lepas.

Undian Piala Dunia yang dibuat Julai lepas, menyaksikan skuad kebangsaan tersenarai dalam Kumpulan D bersama Pakistan, England dan Afrika Selatan.

Kumpulan A terdiri daripada juara bertahan Jerman, Korea Selatan, Belgium dan Mesir sementara pasukan Australia, Sepanyol, Argentina dan Perancis diletakkan dalam kumpulan B.

Kumpulan C pula terdiri daripada Belanda, New Zealand, India dan Kanada.

Dalam perkembangan lain, Tengku Abdullah berharap satu kejohanan liga dianjurkan khusus untuk pemain keturunan Cina dan India di negara ini.

"Usaha ini bagi membolehkan pemain dipilih daripada pelbagai kaum untuk mewakili skuad negara. Pada masa ini, kita nampak hanya pemain Melayu mendominasi sukan ini," katanya.

Beliau berharap persatuan sukan atau mana-mana pihak daripada kaum Cina dan India dapat bekerjasama bagi menganjurkan liga tersebut.

"Saya ingin melihat pemain keturunan India dan Cina dalam skuad kebangsaan," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain