suria

Malaysia Juara Keseluruhan Kejohanan Balapan Dan Padang Sekolah Asia

KUANTAN: Malaysia melakar sejarah tersendiri apabila muncul juara keseluruhan Kejohanan Balapan Dan Padang Sekolah Asia (ASTFC) yang pertama pada hari terakhir temasya itu, Ahad.

Kontinjen negara mengutip 12 pingat emas, 14 pingat perak dan 10 pingat gangsa untuk mendahului lapan lagi negara yang bertanding dalam kejohanan yang berlangsung di Stadium Darul Makmur di sini.

Kontinjen India dengan 12 pingat emas, 11 pingat perak dan enam pingat gangsa dinobatkan sebagai naib juara keseluruhan manakala tempat ketiga disandang kontinjen Thailand dengan 10 pingat emas, lima pingat perak dan tiga pingat gangsa.

Kontinjen Sri Lanka menamatkan saingan dengan mengisi tempat keempat dengan kutipan pingat empat emas, enam perak dan 10 gangsa diikuti Hong Kong (satu emas, dua perak, tiga gangsa), China (satu emas, satu perak, enam gangsa) Filipina (satu perak, satu gangsa), Macau (satu gangsa) manakala Brunei gagal meraih sebarang pingat.

Sementara itu, atlet Thailand, Thanawut Nunchan dinobatkan sebagai Olahragawan dengan dua pingat emas bagi acara Lari Berpagar 110 meter dan 400 meter.

Anugerah Olahragawati menjadi milik atlet Malaysia, Noor Shahidatun Nadia Mohamad Zuki yang turut menyumbang dua pingat emas dalam acara Lompat Jauh dan Lompat Kijang.

Kejohanan kali pertama yang bermula Khamis lepas itu, disertai 183 atlet dari sembilan negara yang bersaingan dalam 40 acara lelaki dan wanita.

Sementara itu, bendera kejohanan yang diturunkan secara rasmi pada majlis penutup diserahkan oleh wakil Malaysia Datuk Mohd Zaili Besar kepada Ketua Kontinjen China, Huang Bin yang akan menjadi tuan rumah kejohanan ASTFC edisi kedua pada 2015. - BERNAMA

Artikel Lain