suria

Peletakan Jawatan Rashid Satu Kehilangan Kepada Sukan Badminton - Zolkples

KUALA LUMPUR: Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri Zolkples Embong menyifatkan peletakan jawatan ketua jurulatih perseorangan lelaki, Rashid Sidek sebagai satu kehilangan bagi Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan skuad badminton negara.

Beliau yang terkejut dengan peletakan jawatan itu berkata, baginya Rashid merupakan antara jurulatih tempatan terbaik yang pernah dimiliki negara.

"Saya sedia maklum mengenai perubahan yang dilakukan oleh pucuk pimpinan baru BAM tapi tidak pernah sama sekali menjangka sehingga ada peletakan jawatan oleh jurulatih dan sebagainya.

"Saya hanya tahu mengenai hal ini melalui laporan akhbar tempatan hari ini tentang alasan yang diberikan oleh Rashid atas peletakan jawatan beliau," katanya kepada pemberita pada sidang media di pejabatnya, di sini, Jumaat.

Menurut laporan akhbar pada Jumaat, Rashid meletakkan jawatannya sebagai jurulatih gara-gara tidak berpuas hati dan terhina dengan sikap dan sistem kerja Pengarah Kumpulan Pengurusan Bakat (TMG) BAM, Tan Aik Mong.

Zolkples berkata, sepanjang 10 tahun penglibatan Rashid bersama BAM dan MSN, beliau menganggap jurulatih itu sebagai seorang yang bagus dalam melaksanakan tugasnya serta MSN belum pernah menghadapi sebarang masalah dengannya.

Ditanya sama ada peletakan jawatan Rashid akan memberi kesan kepada sukan badminton negara, Zolkples berkata, beliau tidak mahu berfikiran negatif namun berharap tidak akan berlaku kesan domino.

"Saya harap peletakan jawatan ini tidak menjejaskan apa sahaja perancangan yang telah BAM umumkan dan jika ada pun saya harap ia dapat diselesaikan dengan kadar segera," katanya.

Beliau bagaimanapun tidak bercadang untuk campur tangan dalam permasalahan dalaman yang dihadapi badan induk badminton itu dan memberi masa serta peluang kepada BAM untuk membuktikan keupayaan mereka.

"MSN akan serahkan sepenuh tanggungjawab kepada BAM untuk menangani isu ini dan saya percaya dengan pendekatan baru yang dilaksanakan BAM sekarang, tentunya BAM mempunyai perancangan tersendiri ke arah penambahbaikan mutu badminton negara," katanya.

Sementara itu, Rashid yang ditemui selepas perjumpaan selama sejam bersama Zolkples bagi membincangkan perihal peletakan jawatannya berkata keputusan itu diambil berikutan beliau tidak selesa untuk menjalankan tugasnya dengan cara dan sistem pimpinan baru.

"Saya sudah tidak seronok untuk bekerja, lari dari kebiasaan.. kerja kena pantau macam mereka tidak percaya dengan kerja saya.. jadi saya rasa terganggu.

"Mungkin cara mereka ini adalah untuk latihan yang lebih berkualiti tapi saya tidak selesa.

"Lagi pun, selama 10 tahun saya dengan BAM... saya tidak pernah menghadapi sebarang masalah sebelum ini," katanya sambil menambah keputusan yang diambilnya adalah muktamad. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain