suria

Hoki: Tiga pemain Simpanan Perlu Bukti Kemampuan - Johari

IPOH: Tiga pemain simpanan skuad hoki yang diuji pada perlawanan persahabatan dengan India Khamis ini perlu membuktikan kemampuan mereka sekiranya berhajat menggalas cabaran negara pada Kejohanan Hoki Piala Asia ke-9 pada 24 Ogos ini.

Setiausaha Kehormat Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) Mohd Johari Abdul Aziz berkata Azreen Rizal Nasir, Jivan Mohan dan Muhamad Ramadan Rosli perlu bermain bersungguh-sungguh untuk membuktikan kemampuan masing-masing.

"Hanya ada dua tempat kosong, oleh itu hanya mereka yang terbaik akan dipilih untuk bersama skuad hoki kebangsaan bagi mengisi posisi pertahanan dan pemain tengah," katanya kepada pemberita selepas pelancaran Laman Web Persatuan Hoki Perak pada Isnin.

Dua kekosongan itu menjadi rebutan pemain simpanan apabila pemain pertahanan Muhamad Amin Rahim dan pemain tengah merangkap penyerang Meor Muhamad Azwan Hassan terkeluar berikutan masalah kecederaan.

Ketua jurulatih hoki negara Paul Revington sebelum ini mengumumkan akan menamakan dua pemain terakhir dalam skuad 18-pemain bagi Kejohanan Piala Asia ke-9 selepas perlawanan 'pemanas badan' menentang India di Ipoh, Perak, 22 Ogos ini.

Malaysia diundi dalam Kumpulan A bersama Taiwan, Pakistan dan Jepun manakala Kumpulan B terdiri daripada pasukan Korea Selatan, India, Bangladesh dan Oman.

Kali terakhir Malaysia layak ke Piala Dunia apabila menjadi tuan rumah pada 2002 dengan menduduki tangga kelapan. Pencapaian terbaik negara ialah tempat keempat pada Piala Dunia 1975.

Dalam perkembangan lain, Presiden Persatuan Hoki Perak Datuk Abdul Rahim Mat Ariff berkata sempena kejohanan itu Persatuan Hoki Perak akan menganjurkan Kejohanan Hoki Terbuka Perak kategori lelaki dan perempuan berumur 15 dan 16 tahun dari 26 Ogos hingga 28 Ogos bertempat di Stadium Azlan Shah.

Beliau berkata seminar Kejurulatihan 1Mas yang dikendalikan jurulatih Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) Shiv Jagday juga akan diadakan pada 30 Ogos hingga 1 Sept bertempat di Akademi Hoki Raja Ashman Shah Persekutuan Hoki Asia (AHF) MHC.

Mengenai laman web itu, Abdul Rahim berkata peminat hoki dari semua daerah mahupun negeri berkenaan akan memperoleh maklumat terkini mengenai aktiviti dan program yang dijalankan pihak persatuan.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain