suria

Universiade: Atlet Menembak Perlu Timba Banyak Pengalaman

KAZAN: Atlet menembak negara memerlukan lebih banyak pengalaman beraksi dalam kejohanan bertaraf dunia untuk muncul antara pasukan yang mampu memberikan saingan yang kuat.

Acara menembak menutup tirai kejohanan Sukan Universiti Dunia (Universiade ke-27) tanpa sebarang kilauan pingat buat kontinjen negara.

Pengurus pasukan Ahmad Fitry Mohamed berkata meskipun gagal menyumbang sebarang pingat buat kontinjen negara beliau tetap berpuas hati dengan prestasi atlet dan yakin kemampuan atlet untuk menyumbangkan pingat pada masa akan datang sekiranya mendapat pendedahan yang konsisten.

"Kita memohon maaf kerana gagal mencapai sasaran yang ditetapkan untuk menyumbang pingat pada Universiade kali ini, namun yang pasti atlet menembak telah melakukan yang terbaik apabila ada atlet mencipta catatan musim terbaik masing-masing.

"Kejohanan kali ini menunjukan prestasi atlet kita meningkat yang mana kita masih mampu untuk bersaing dengan menduduki tempat kelapan terbaik," katanya kepada pemberita.

Bagi acara terakhir yang berlangsung di Kompleks Lapang Sasar Sviyaga hari ini, trio 25m standard pistol lelaki sekadar menduduki tempat kelima daripada tujuh pasukan yang mengambil bahagian.

Malaysia diwakili Mohd Ridhwan Mohamed/Tack Fai Liew/Hisham Adzha terpaksa berpuas hati dengan bidikan 1,624 mata.

Pingat emas acara tersebut dimenangi Yuehong Li/Feng Deng/Wei Pang dari China dengan bidikan 1,678 mata manakala pingat perak diraih pasukan tuan rumah menerusi Leonid Ekimov/Andrey Shcheoetkov/Dmitry Brayko dengan 1,666 mata.

Pingat gangsa pula diraih Jun Hong Kim/Yonghoo Choi/Daeyoong Kim dari Korea Selatan dengan 1,665 mata.

Sementara itu bagi acara 50m rifle 3 position lelaki, pasukan negara menerusi Mohd Nurahimmin Abdul Halim/Mohamad Lutfi Othmad/Hisyam Adzha menduduki tempat kelapan daripada 15 pasukan dengan 3,423 mata.

Pingat emas dimenangi Hongwei Kang/Yifei Cao/Xing Lan dari China dengan 3,495 mata manakala pingat perak diraih pasukan tuan rumah Nazar Luginets/Sergei Kruglov/Kirill Grigorian dengan 3,469 mata.

Pingat gangsa menjadi milik pasukan Serbia menerusi Igor Cotra/Milutin Stefanovic/Borislav Mazinjanin dengan 3,455 mata.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain