suria

Badminton: Piala Axiata 2013 Akan Disertai Pemain Wanita

KUALA LUMPUR: Kejohanan badminton berpasukan terkaya dunia Piala Axiata thun ini akan turut disertai pemain wanita dalam acara perseorangan dan beregu campuran yang akan diadakan di Kuala Lumpur dan Surabaya, Indonesia bulan ini.

Kejohanan yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan US$1 juta (RM3.099 juta) kini akan mengandungi empat perlawanan iaitu perseorangan lelaki, perseorangan wanita, beregu lelaki dan beregu campuran, berikutan dimasukkan acara baharu tersebut,

Kejohanan jemputan itu anjuran bersama Total Sports Asia (TSA), syarikat telekomunikasi Malaysia, Axiata Group dan Persekutuan Badminton Asia (BAC) untuk tahun kedua.

Ketua Pegawai Eksekutif TSA, Marcus Luer berkata pasukan baharu iaitu Pasukan Asia dan Pasukan Eropah akan turut serta tahun ini bagi memberi lebih tarikan kepada kejohanan.

"Dengan pasukan baharu dan penyertaan pemain wanita dalam kejohanan tahun ini, acara diberi tarikan tambahan," katanya kepada pemberita selepas pelancaran kejohanan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Axiata, Datuk Seri Jamaludin Ibrahim, Selasa.

Dua pasukan baharu tersebut akan bertanding dengan pasukan dari Malaysia, Indonesia, Thailand, Filipina, Singapura dan Vietnam.

Pasukan Asia terdiri dari tujuh pemain seperti Lee Hyung Il dari Korea Selatan dan Ashwini Ponnappa-Tarun Kona dari India sementara pasukan Eropah mengandungi 14 pemain seperti perseorangan terkemuka Denmark, Tine Baun dan pemain beregu campuran Poland, Robert Mateusiak-Nadiezda Zieba.Pusingan awal akan dimainkan secara 'round robin' di Surabaya dari 21-24 Mac dan perlawanan timbal-balik di Kuala Lumpur dari 29-31 Mac.

Empat pasukan yang mengumpul mata tertinggi dalam kedua-dua pusingan akan mara ke peringkat separuh akhir.

Peringkat separuh akhir dan akhir akan diadakan di Kuala Lumpur dari 13-14 April.

Juara akan menerima US$400,000 (RM1.2 juta), naib juara (US$200,000-RM620,374), tempat ketiga (US$150,000-RM465,280), keempat (US$100,000-RM310,187), kelima (US$60,000-RM186,112), keenam (US$40,000-RM124,074), ketujuh (US$30,000-RM93,056) dan akhir (US$20,000) (RM62,037).

Indonesia Garuda yang menurunkan pemain senior muncul juara dalam kejohanan sulung tahun lalu mengalahkan pasukan Rajawali juga dari Indonesia 2-1 di final.

Sementara itu Pengurus Besar Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Kenny Goh berharap pemain muda kebangsaan dapat menjadikan kejohanan sebagai medan terbaik meraih pengalaman ketika menentang pemain ternama dunia dari negara Asia lain.

"Peluang sebegini tidak harus dilepaskan oleh pemain muda kita memandangkan kekurangan penganjuran kejohanan berpasukan dunia sejak kebelakangan ini.

"Kejohanan ini juga merupakan antara pentas awal untuk skuad badminton kita mempersiapkan diri bagi menghadapi Piala Sudirman (di sini pada Mei depan)," katanya.

Ketua pasukan Indonesia Garuda, Simon Santoso pula yakin pasukannya mampu mempertahankan kejuaraan buat kali kedua berturut-turut dengan barisan pemain yang baharu pada edisi kali ini.

"Saya bagaimanapun mengingatkan rakan sepasukan untuk tidak mengambil mudah cabaran pasukan lain termasuk dua pasukan baharu tahun ini yang rata-ratanya membariskan pemain ternama," katanya.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain