suria

Liga Perdana: Lima Pasukan Kutip Mata Penuh Perlawanan Pertama

KUALA LUMPUR: Kedah, Sabah, Sarawak, Pos Malaysia dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) memulakan saingan Liga Perdana dengan langkah kanan apabila masing-masing berjaya mengutip tiga mata penuh pada perlawanan pembukaan pada Isnin.

Pada perlawanan sebelah petang, PDRM mencatat kemenangan besar apabila membelasah Negeri Sembilan Betaria 5-0 di Stadium Hang Jebat, Melaka.

Lima gol disumbangkan oleh Mohamadou Sumareh pada minit ke-14, Khairul Izuan Abdullah (ke-19), Khairul Amar Kasim (ke-46), Kaye Edrisar (ke-51) dan Wan Zaman Wan Mustafar (ke-56).

Pasukan Sarawak pula menang tipis 2-1 ke atas Perlis di Stadium Utama Kangar, Pasukan tuan rumah terlebih dahulu membuka jaringan pada minit ke-15 menerusi pemain importnya Antwi Dennis pada minit ke-15, namun kegembiraan Perlis tidak kekal lama apabila Ivan Babic dan Bobby Gonzales masing-masing menjaringkan gol pada minit ke-18 dan minit ke-23.

Impian Kedah untuk memperoleh kemenangan sulung menjadi kenyataan setelah mengalahkan Universiti Teknologi Mara (UiTM) 2-0 di Stadium Hang Tuah, Melaka.

Penyerang berbisa skuad hijau kuning, Mohd Khyril Muhymeen Zambri menjaringkan dua gol pada minit ke-30 dan minit ke-32.

Di Stadium Likas, Kota Kinabalu, Sabah mengalahkan pasukan berstatus kelab, S.P.A Putrajaya 2-1.

Pemain tengah Sabah, Shahrul Azhar Ture menjadi wira pasukanya apabila menjaringkan dua gol seawal minit kelima dan minit ke-71, Namun kesilapan yang dilakukan oleh Rhys David Weston mengundang padah apabila pemain dari Wales itu menjaringkan gol sendiri pada minit ke-28.

Pos Malaysia pula mencatat kemenangan tipis 3-2 kepada Kuala Lumpur di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, gol Pos Malaysia dijaringkan oleh Nur Hakim Adzhar pada minit ke-40 dan Mohd Saufi Ibrahim minit ke-42 dan minit ke-65.

Manakala dua gol Kuala Lumpur pula disumbangkan oleh Syafwan Syahlan dan Munir Amran masing-masing pada minit ke-14 dan ke-17.

Sementara pada perlawanan sebelah malam yang berlangsung di Stadium Tan Sri Hasan Yunos, Larkin, pasukan Johor seri tanpa jaringan 0-0 kepada Sime Darby.-BERNAMA

Artikel Lain