suria

Man Utd Terima Berita Buruk Kecederaan Wayne Rooney Masih Belum Pulih

Wayne Rooney
Wayne Rooney
Wayne Rooney

MANCHESTER UNITED pada lewat petang Jumaat menerima perkhabaran buruk apabila dimaklumkan yang penyerang utama mereka, Wayne Rooney tidak akan sempat untuk pulih dari kecederaan menjelang pertemuan dengan Liverpool pada Ahad 13 Januari ini.

Penyerang berusia 27 tahun itu mengalami kecederaan pada lutut ketika sedang menjalani latihan ringan pada hari Krismas lalu.

Pengurus United, Sir Alex Ferguson pada mulanya berharap yang Rooney akan sempat pulih selepas pertemuan dengan West Ham pada pusingan ketiga Piala FA Inggeris Sabtu ini.

Malangnya beliau telah dimaklumkan oleh pasukan perubatan United yang kecederaan Rooney agak berat dan tidak akan sempat pulih sepenuhnya menjelang pertemuan dengan Liverpool nanti.

Bagaimanapun Ferguson mengesahkan yang kecederaan yang dialami Rooney itu tidaklah seserius mana.

“Selepas menjalani imbasan pada lututnya kami tidak menemui sebarang tanda-tanda keretakan tapi dia masih mengadu rasa sakit jadi pasukan perubatan kami memutuskan supaya jangan mengambil sebarang risiko," ujar Ferguson lagi.

Walaupun tanpa kelibat Rooney, Ferguson masih mempunyai banyak pilihan di barisan hadapan dengan Javier Hernandez dan Robin van Persie masing-masing berupaya menjaringkan gol dan kini berada pada prestasi tertinggi.

Kedua-duanya telah menjaringkan dua gol ketika bertemu Wigan tiga hari lalu. Disamping itu United juga mempunyai seorang lagi penyerang yang cergas iaitu pemain muda Danny Wellbeck.

Sementara itu Ferguson telah dimaklumkan yang pemain bek tengah mereka, Phil Jones kembali cergas untuk disenaraikan dalam perlawanan menentang West Ham nanti.

Ferguson turut mengesahkan yang pemain sayap kiri, Nani turut cergas untuk disenaraikan dalam barisan utama.

Artikel Berikut

Artikel Lain