suria

Pelumba Baru Jadi Pertaruhan Juara Bertahan Androni-Venezuela

KUALA LUMPUR: Barisan pelumba baharu menjadi pertaruhan juara bertahan, Androni-Venezuela, untuk menempa nama pada edisi ke-18 perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2013 mulai 21 Februari hingga 2 Mac ini.

"Kami akan mencipta sesuatu yang baharu," kata pengurus pasukan Gianni Savio, yang sedar bahawa pasukannya tidak menampilkan pelumba pilihan utama untuk meraih gelaran keseluruhan. "Kami akan memberi peluang kepada dua pelumba muda Itali, Diego Rosa, pendaki tulen dari sukan basikal berbukit yang memenangi peringkat ratu jelajah Giro Bio tahun lepas dan Patrick Facchini.

Facchini telah merangkul lapan kemenangan dan memenangi anugerah Pelumba Elit Terbaik Itali pada Anugerah Oscar Tuttobici, kata Savio dalam kenyataan di sini, Rabu.

Turut tersenarai dalam pasukan itu bagi mengharungi cabaran LTdL 2013 ialah Omar Bertazzo (Itali) dan tiga pelumba dari Venezuela Carlos Jose Ochoa, Jackson Rodriguez dan Tomas Aurelio Gil Martinez.

"Kami tidak datang dengan matlamat untuk memenangi gelaran individu keseluruhan seperti yang kita lakukan pada beberapa tahun lepas dengan Jose Serpa, Jose Rujano dan Jonathan Monsalve tetapi kami melihat untuk melakukan beberapa kejutan," katanya.

Savio berkata walaupun dengan pelumba tidak ternama, mereka mampu meninggalkan nama dan akan cuba menjuarai gelaran berpasukan. Untuk rekod, pasukan itu muncul pasukan terbaik untuk lima kali iaitu pada 2003, 2006, 2008, 2009 dan 2012.

Sejak penampilan sulung pada 2000, lima pelumba pasukan itu muncul juara individu keseluruhan iaitu Hernan Dario Munoz (2002), Freddy Gonzalez (2004), Ruslan Ivanov (2008), Jonathan Monsalve (2011) dan Jose Serpa (2009 and 2012). -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain