suria

ATM Perlu Menang Satu Trofi Musim Ini - Zahid Hamidi

SHAH ALAM: Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Khamis meletakkan sasaran kepada pemain pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk memenangi sekurang-kurangnya satu trofi pada saingan musim ini.

Beliau percaya sasaran tersebut boleh direalisasikan selepas melihat kejayaan pasukan kendalian jurulatih B. Sathianathan itu merangkul gelaran juara Liga Perdana musim lalu.

"Musim lalu kita dah perolehi satu piala, tapi kita perlu realistik kerana para pemain perlu diberi keutamaan.

"Saya tak mahu mereka tertekan tetapi mereka tahu apa yang perlu dilakukan," katanya pada sidang media selepas majlis memperkenalkan pemain baru ATM dan penajaan jersi pasukan oleh Macron di sini pada Khamis.

Ahmad Zahid berkata, para pemain perlu bangkit dan melakar kejayaan gemilang dalam penampilan pertama saingan Liga Super musim ini.

ATM berjaya melayakkan diri ke saingan Liga Super musim ini selepas membelasah MP Muar 8-1 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) tahun lalu sekaligus muncul juara Liga Perdana.

Sementara itu, Sathianathan mengakui beliau kini memiliki barisan pemain hebat dan berpengalaman yang mampu merealisasikan impian tersebut.

"Saya tahu para pemain ingin memenangi sekurang-kurangnya satu piala musim ini. Walaupun kami pendatang baru dalam saingan Liga Super tetapi saya yakin para pemain boleh beraksi dengan cemerlang," katanya.

Pada musim ini, ATM membawa masuk enam muka baru untuk memperkuat pasukan musim ini yang terdiri daripada bekas penjaga gol Selangor, G. Jeevananthan, R. Surendran (Selangor), Nor Fazli Alias (T-Team), Shukor Adan (Negeri Sembilan), Mohamad Affizie Faisal (Harimau Muda A) dan S. Thinakaran (USM FC).

Mengulas mengenai perlawanan ATM menentang Kelantan pada saingan Piala Sumbangsih Sabtu ini, Sathianathan mengharapkan persembahan terbaik daripada anak buahnya.

"Saya harap para pemain dapat beraksi dengan baik kerana persembahan yang baik boleh membantu pasukan menjuarai saingan itu," katanya.

Jelas beliau lagi, tahap persembahan pasukan pada perlawanan Sabtu ini akan menentukan masa depan ATM dalam saingan Liga Super.

Pada perlawanan itu nanti, Sathianathan tidak mungkin menurunkan penyerang importnya, Marlon Alex James yang masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan.

"Kita tidak mahu mengambil risiko yang mungkin menjejaskan perancangan pasukan dalam aksi Liga Super nanti," katanya.

Selain itu, Christie Jayaselan juga tidak akan beraksi kerana mengalami kecederaan teruk dan memerlukan masa sekurang-kurangnya sebulan untuk pulih.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain