suria

Masalah Aliran Tunai Punca Pemain Kebangsaan Lewat Terima Bonus - Kenny Goh

KUALA LUMPUR: Kelewatan pembayaran bonus kepada pemain badminton negara yang mencatat kejayaan di pentas antarabangsa seperti dijanjikan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), adalah disebabkan masalah aliran tunai.

Pengurus Besar BAM Kenny Goh berkata isu itu bukan perkara baharu kerana pernah berlaku sebelum ini, dan berjanji akan menyelesaikannya bagi memastikan pemain memperoleh ganjaran masing-masing.

"Duit sememangnya ada tetapi masalah 'cash flow' yang melewatkan pembayaran bonus itu, namun BAM akan mencuba sebaik mungkin untuk mempercepatkan proses tersebut.

"Saya bagaimanapun tidak boleh mengulas lanjut mengenai aliran wang itu kerana tidak mahu menjejaskan nama baik pihak-pihak berkenaan," katanya ketika dihubungi Bernama, Rabu.

Laporan akhbar pada Rabu menyebut beberapa pemain badminton kebangsaan mendakwa mereka tidak menerima bonus pencapaian sejak Jun tahun lepas.

Badan induk badminton negara itu sebelum ini berjanji akan memberi bonus kepada pemain negara yang berjaya melangkah ke peringkat suku akhir sehingga final dalam kejohanan antarabangsa.

Kenny berkata BAM sebenarnya mempunyai dana sendiri untuk membayar bonus pencapaian pemain, namun wang itu diguna bagi menampung perbelanjaan pemain remaja kebangsaan beraksi di kejohanan luar negara.

Beliau memberi jaminan bonus pencapaian akan dibayar kepada pemain sebaik BAM menerima wang daripada pihak berkenaan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain