suria

Masyuri Rahmat Mahu Layak Ke Piala Monsun 2012

KUALA TERENGGANU: Pemenang pusingan ketiga Sirkit Match-Racing Malaysia (MMRC) 2012, Masyuri Rahmat mengimpikan untuk mencipta sejarah dengan layak ke Piala Monsun, leg terakhir dalam kalendar Alpari World Match Racing Tour (AWMRT).

Namun skiper pasukan Royal Malaysian Navy Match Racing Team 1 (RMNMRT1) yang berumur 30 tahun ini perlu terlebih dahulu memenangi pusingan akhir MMRC di Ri-Yaz Heritage Marina Resort & Spa di Pulau Duyong bermula Rabu hingga Jumaat (28-30 November) untuk berpeluang mencipta sejarah.

Mata yang diperoleh dan dikumpul enam pasukan yang bertanding dalam empat sirkit MMRC akan menentukan satu slot wildcard untuk mewakili Malaysia di Piala Monsun (3-8 Disember) yang juga merupakan leg final kalendar AWMRT.

"Siri terakhir kali ini, saya perlu lebih fokus di setiap perlumbaan. Saya fikir peluang tetap ada untuk mengalahkan Jeremy (Koo) kerana dia merupakan pesaing yang sukar dan mempunyai tumpuan yang kuat ketika di atas air.

"Saya tidak pernah lagi menang pada kejohanan ini (MMRC) dan seterusnya melayakkan diri (Piala Monsun) serta diharapkan ia akan menjadi kenyataan apa yang saya idamkan selama bertahun ini," katanya kepada pemberita di sini Rabu.

Masyuri yang menang pusingan ketiga di Tanjong Leman, Johor, (28-30 September) kini menduduki di tempat kedua MMRC dengan memungut 66 mata, 3 mata di belakang pendahulu Jeremy Koo (KFC/Koo Racing Team), menang peringkat pertama dan dua MMRC di Lumut (11-13 Mei) dan Pulau Indah dekat Pelabuhan Klang (29 Jun hingga 1 Julai). - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain