suria

M'sia Ke Separuh Akhir Skuasy Berpasukan Wanita Dunia

KUALA LUMPUR: Pasukan skuasy negara meneruskan prestasi cemerlang dalam Kejohanan Skuasy Berpasukan Wanita Dunia selepas mencatat kemenangan 2-0 ke atas New Zealand, sekali gus mara ke separuh akhir.

Pemain nombor satu dunia Datuk Nicol David memulakan langkah Malaysia dengan sempurna apabila mudah menundukkan pemain New Zealand Joelle King dengan 11-5, 11-7 dan 11-4 dalam perlawanan suku akhir di La Parnasse Arena, Nimes, Perancis pada lewat hari Khamis.

Menurut laman sesawang kejohanan www.squashsite.co.uk, pemain nombor dua negara Low Wee Wern bagaimanapun diberi tentangan sengit oleh Jaclyn Hawkes sebelum menang 11-3, 11-5, 11-13 dan 11-9 dalam perlawanan kedua.

Malaysia bakal berdepan saingan getir kerana akan bertemu England yang merupakan pilihan utama dan juara tujuh kali kejohanan. England sebelum itu menyingkirkan Ireland 3-0.

Satu lagi pertemuan separuh akhir bakal menyaksikan pertembungan juara 2008 Mesir dan juara sembilan kali Australia.

Mesir yang diketuai pemain nombor dua dunia Raneem El-Weleily menyingkirkan India dengan 3-0 sementara Australia pula menewaskan juara bertahan Hong Kong 2-1.

Semua perlawanan separuh akhir akan berlangsung lewat Jumaat.

Pencapaian terbaik Malaysia pada kejohanan dwitahunan itu ialah tempat ketiga dalam edisi 2006, 2008 dan 2010. BERNAMA

Artikel Lain