suria

Koo/Tan, Wei Feng Mara Ke Separuh Akhir Terbuka China

KUALA LUMPUR: Beregu utama negara Koo Kien Keat dan Tan Boon melangkah ke suku akhir Kejohanan Terbuka China selepas menundukkan beregu tuan rumah Liu Xiaolong/Qiu Zihan pada pusingan kedua di Shanghai, China, malam Khamis.

Beregu negara, yang menduduki ranking keempat dunia, dengan mudah mengatasi beregu China itu dengan keputusan 21-8, 21-19 untuk berdepan dengan beregu Taiwan Chen Hung Ling/Lu Chia Bin pada suku akhir esok.

Terdahulu, beregu Taiwan itu menempah slot suku akhir selepas menjinakkan beregu negara Gan Teik Chai/Ong Soon Hock 21-4, 21-14.

Dalam acara perseorangan lelaki, pemain nombor tiga negara Chong Wei Feng mengekalkan rentak kemenangan apabila mengalahkan pemain Denmark Hans-Kristian Vittinghus 21-13, 21-19 untuk melangkah ke pusingan suku akhir.

Bagaimanapun, rakan senegara dan juara Terbuka Perancis, Liew Daren gagal meneruskan saingan apabila tumpas di tangan pemain dari pusingan kelayakan, Gao Huan dari China dengan 21-13, 21-18.

Dalam acara beregu campuran, gandingan negara Chan Peng Soon/Goh Liu Ying turut mencapai kemenangan pada pusingan kedua dengan mengatasi Kim Sa Rang/Choi Hye In dari Korea Selatan dengan 21-15, 21-14. -BERNAMA

Artikel Lain