suria

MSN Serah Kontrak Kepada Yang Zhuliang Isnin

KUALA LUMPUR: Majlis Sukan Negara (MSN) sudah menyerahkan kontrak baharu kepada ketua jurulatih terjun dari China, Yang Zhuliang, pada Isnin, memandangkan kontraknya akan tamat penghujung bulan ini.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Zolkples Embong berkata walau bagaimanapun Yang Zhuliang masih belum lagi menanda-tangani kontrak berkenaan.

"Tadi beliau ada berjumpa dengan saya. Ada beberapa pekara yang beliau minta penjelasan. Nampaknya seperti beliau berpuas hati dan tidak ada halangan," katanya kepada pemberita di MSN, Bukit Jalil di sini Selasa.

Zolkples berkata MSN sentiasa mahu mengekalkan jurulatih yang mempunyai prestasi baik, dan Yang Zhuliang telah berjaya menghasilkan kejayaan untuk atlet negara.

Beliau mengakui bukan mudah untuk mendapatkan khidmat jurulatih yang baik kerana banyak negara lain turut berusaha mahukan khidmat kepakaran terbaik untuk atlet mereka.

Menurut Zolkples, beberapa pertimbangan telah dibuat dan memberi kemudahan kepada Yang Zhuliang, antaranya berkaitan kenaikan gaji.

"Mengenai soal persekolahan anak beliau, tidak kita bincangkan kerana menjadi dasar kita untuk tidak menanggung persekolahan anak mana-mana jurulatih sebelum ini," katanya.

Zolkples berkata MSN sudah membuat keputusan untuk menambah bilangan jurulatih acara terjun khususnya di kalangan jurulatih tempatan, bukan sahaja untuk skuad elit tetapi juga skuad pelapis.

"Antaranya, kita bersetuju menawarkan tugas sebagai jurulatih kepada bekas atlet terjun seperti Yeoh Ken Nee dan Rossharisham Roslan.

"Antara pekara yang dibincangkan dengan Yang Zhuliang hari ini ialah mengenai pemindahan kepakaran beliau kepada jurulatih tempatan dan beliau nyata bersedia membantu. Usaha seperti ini akan memberi manfaat besar kepada pembangunan atlet di negara ini," katanya.

Dalam perkembangan lain, Zolkples berkata MSN bersetuju menamatkan kontrak jurulatih memanah paralimpik, Amirullah Ahmad kerana beliau mahu kembali berkhidmat di Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

"Selama ini kita meminjam beliau selama enam tahun daripada KBS. Beliau adalah antara jurulatih yang baik. Saya dapat menilai prestasi beliau semasa Sukan Paralimpik London yang lalu.

"Amrullah sendiri meminta untuk menamatkan tempoh pinjaman mahu kembali berkhidmat dengan Kementerian Belia dan Sukan kerana memikirkan masa depannya. Selepas menamatkan pengajian (sains sukan), beliau tidak pernah berkhidmat sebagai pegawai kerajaan.

"Beliau memerlukan tempoh tertentu untuk memenuhi tuntutan keperluan perkhidmatan sebagai pegawai kerajaan," katanya.

Menurut Zolkples, MSN sedang mempertimbangkan beberapa nama jurulatih yang akan mengisi kekosongan itu.

Beliau berkata dalam tempoh ketiadaan Amirullah, jurulatih memanah skuad elit, Lee Jae Hyung akan membantu membimbing atlet memanah paralimpik. - BERNAMA

Artikel Lain